Graduan universiti perlu bersedia menghadapi cabaran dan daya saingan baharu dalam dunia pekerjaan yang pantas berubah.
Selain kecemerlangan akademik, kebanyakan majikan masa kini turut menuntut graduan yang dilengkapi dengan pelbagai kebolehan dan kecekapan, seperti kemahiran digital, komunikasi, daya kreativiti dan keupayaan penyelesaian masalah.
Salah satu kemahiran yang jarang di ketengahkan tetapi cukup penting bagi kerjaya masa depan ialah daya pemikiran reka bentuk, atau design thinking.
Pendekatan ini digunakan oleh banyak syarikat gergasi untuk mencari penyelesaian inovatif bagi sesuatu permasalahan.
Ketua Pembangunan Sumber Manusia bagi Mondelēz International di Malaysia dan Singapura, Charlene Phang, berkata persekitaran perniagaan akan sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
“Pemikiran reka bentuk kini semakin hangat di pasaran pekerjaaan. Kemahiran ini mendorong penyelesaian masalah kreatif menerusi lima fasa, termasuk empati (pemahaman pengguna), pentakrifan permasalahan, pembentukan idea, prototaip dan ujian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berkenaan cabaran Leading Edge Business Challenge yang julung kali dianjurkan oleh Mondelēz International di Asia Tenggara.
Pengeluar jenama snek kegemaran orang ramai seperti Oreo, Cadbury, Twisties dan Chipsmore ini, mengalu-alukan graduan dan pascasiswazah Malaysia menyertai pertandingan bertujuan memberi pendedahan kepada kaedah pemikiran reka bentuk menerusi bengkel pembelajaran dalam talian bersama eksekutif kanan syarikatnya.
Peserta akan turut dibimbing mengamalkan pemikiran reka bentuk bagi menyelesaikan tugasan dan cabaran yang diberi mengikut situasi sebenar perniagaan.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada graduan dan pelajar membendung sifat ingin tahu dan minda membangun, selain menyediakan mereka dengan pemikiran baharu dan kesanggupan untuk mencuba.
“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami dalam menyumbang kepada tenaga kerja masa depan dengan menawarkan bengkel pembelajaran, kemahiran permintaan tinggi dan sesi bimbingan dalam persekitaran sebenar perniagaan,” katanya.
Graduan berminat menyertai pertandingan ini boleh mendaftar dalam pasukan seramai tiga atau empat orang dari universiti yang sama.
Peserta yang mara ke pusingan seterusnya dapat membentangkan idea mereka di peringkat tempatan dan serantau.
Pasukan juara di peringkat negara berpeluang memenangi ganjaran wang tunai bernilai USD1,000, manakala juara peringkat Asia Tenggara pula akan menerima USD5,000.
Lebih menarik lagi, para pemenang juga berpeluang mengikuti program kerjaya awal di Mondelēz International.
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila layari Mondelēz International Leading Edge Business Challenge.









