BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengumumkan penubuhan zon ketenteraan di beberapa kawasan sempadan utara dengan Lubnan menjelang operasi darat yang menyasarkan kedudukan Hezbollah di negara itu.
“Kawasan Metula, Misgav Am, dan Kfar Giladi di utara Israel telah diisytiharkan sebagai zon ketenteraan tertutup. Masuk ke kawasan ini adalah dilarang,” menurut kenyataan tentera.
Di Washington, jurucakap Kementerian Luar AS, Matthew Miller berkata, Israel sedang menjalankan operasi terhad untuk menyasarkan Hezbollah di dalam Lubnan.
“Ini adalah apa yang mereka maklumkan kepada kami bahawa mereka sedang melakukan operasi terhad yang menyasarkan infrastruktur Hezbollah berhampiran sempadan,” kata Miller kepada wartawan.
Tentera Israel turut mengecam dakwaan mengenai pergerakan angkatan tentera mereka di sepanjang sempadan Lubnan dan meminta agar maklumat rasmi sahaja yang diikuti.
“Maklumat telah beredar tentang aktiviti tentera di sempadan. Demi keselamatan angkatan kami, harap ikut hanya maklumat rasmi dan tidak menyebarkan khabar angin yang tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, memberi isyarat operasi darat dijalankan dalam usaha memerangi Hezbollah.
“Kami akan menggunakan semua cara yang diperlukan sama ada dari udara, dari laut, dan di darat,” kata Gallant kepada tentera Israel yang dikerahkan di sempadan utara dengan Lubnan.
Hezbollah pula berkata pejuangnya bersedia menghadapi sebarang serangan darat walaupun selepas kehilangan ketua mereka, Hassan Nasrallah.
Israel sebelum ini melancarkan serangan udara ke atas kubu kuat Hezbollah di seluruh Lubnan dan pada Jumaat membunuh Nasrallah di Beirut.
Pertikaian di sempadan semakin meningkat bulan ini, menyebabkan penduduk di seluruh kawasan itu bimbang lebih banyak keganasan bakal berlaku. – AGENSI











