BEIRUT: Tentera Israel berkata pasukannya sudah memulakan serangan darat yang menyasarkan kampung-kampung di selatan Lubnan.
Rejim itu memaklumkan mula melancarkan serbuan secara terhad, setempat dan disasarkan terhadap Hezbollah.
Pencerobohan itu berlaku sejurus selepas ia diluluskan oleh pemimpin politik Israel dan menandakan peringkat baharu dalam perang Israel menentang Hezbollah, kumpulan bersenjata Lubnan yang disokong Iran.
Israel turut melancarkan lebih banyak serangan udara di pinggir selatan Beirut, mengebom beberapa kawasan kejiranan selepas mengarahkan penduduk berpindah.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan berterusan sejak semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang.
Semalam, pegawai AS berkata, Israel mula melancarkan serangan darat kecil terhadap Hezbollah dan menutup komuniti di sepanjang sempadan utaranya ketika artileri Israel menyerang selatan Lubnan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, Israel memaklumkan kepada AS mengenai serbuan itu, yang menurutnya disifatkan sebagai operasi terhad tertumpu kepada infrastruktur Hezbollah berhampiran sempadan.
Malam tadi, pasukan tentera Lubnan dilaporkan berundur kira-kira lima kilometer (km) dari kawasan sempadan dengan Israel selepas serangan darat dilancarkan rejim itu dilihat semakin hampir.-AGENSI/AFP











