Laluan baharu The Cranial - Utusan Malaysia

Laluan baharu The Cranial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU rahsia untuk maju: jangan pernah takut untuk melangkah keluar dari zon selesa.

Itu yang dilakukan trio jejaka yang menggelarkan diri mereka The Cranial. Aiman Sabri (gitar/vokal), Farez Amirul (gitar/vokal) dan Haziq Fitrie (bes/vokal) sebelum ini sudah mengecapi kejayaan melalui video-video lagu saduran di Youtube namun mereka mahu terus maju.

Haziq dan Aiman juga merupakan adik-beradik manakala Farez adalah sahabat mereka sejak kecil, menjadikan ketiga-tiga mereka sangat serasi sebagai sebuah kugiran.

Tiga minggu lalu, mereka tampil dengan lagu sendiri bertajuk Pendam, sebuah adunan balada moden sebagai percubaan pertama untuk keluar dari kepompong kugiran saduran.

Aiman sendiri mengakui, peluang yang mereka terima hadir tepat pada masanya. Selepas lima tahun menyadur lagu, mereka kini bersedia untuk tampil dengan produk sendiri.

“Lagu ini sebenarnya dicipta untuk penyanyi solo namun kami suntik elemen-elemen kami sendiri supaya ada bunyi kugiran,” katanya.

Lagu Pendam merupakan ciptaan sepenuhnya Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat manakala Aiman turut terlibat bersama dalam penulisan lirik.

Lagu tersebut menampilkan ciri tipikal balada sendu Melayu namun disuntik sedikit ciri kompleks dari segi susunan dan kedudukan stanza menjadikan ia karya unik daripada The Cranial.

“Lagu ini datang kepada kami agak kosong, kemudian kami suntik bahagian masing-masing untuk menjadikannya lebih segar dan sesuai dengan kugiran,” tambah Haziq.

The Cranial merupakan artis pertama naungan Sirius Music, syarikat rakaman yang juga masih baru dalam industri.

Jelas Haziq, lamaran Sirius Music datang tepat pada masanya memandangkan ketiga-tiga mereka kini menuntut di universiti yang sama dan mempunyai lebih banyak masa bersama membolehkan mereka untuk bersedia untuk mengeluarkan single pertama.

“Kami pun tidaklah meletakkan harapan tinggi untuk Pendam. Tujuan melancarkan single ini untuk masuk ke dalam pasaran. Untuk orang mengenali kami.

“Kami memang berharap, selain peminat sedia ada sebelum ini, lebih ramai dapat mendengar muzik kami melalui single ini,” katanya.

Bagi Farez pula, dia mengharapkan Pendam dapat membuka selera pendengar muzik tempatan terhadap karya yang segar dan menyuntik elemen terkini.

“Saya sendiri peminat muzik dan saya yakin Aiman dan Haziq memang ada bakat. Apa yang saya harap, lebih ramai pendengar dapat menikmati muzik kami dan mereka terbuka untuk menerima pembaharuan yang kami bawa,” katanya.

Video muzik dan video lirik Pendam boleh ditonton di saluran Youtube Sirius Music. Lagu tersebut juga tersedia dalam aplikasi penstriman muzik seperti Spotify.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×