Pemimpin pejuang Palestin maut serangan di Beirut 

Pemimpin pejuang Palestin maut serangan di Beirut 

SEORANG lelaki menunggang basikal melalui bangunan pangsapuri yang dibedil Israel di daerah Cola di Beirut, Lubnan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pejuang Hamas mengesahkan komandernya, Fateh Sharif terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian El-Buss di selatan Lubnan.

Hamas dalam kenyataan berkata, serangan Israel pada pagi Isnin itu turut membunuh isteri Fateh, Umayya Ibrahim Abdel Hamid dan dua anak mereka.

“Kami meratapi pemergian komander Hamas di Lubnan, Fateh Sharif dan anggota kepemimpinan gerakan di luar negara,” kata kumpulan pejuang itu.

Terdahulu, agensi berita rasmi Lubnan melaporkan, pesawat Israel buat pertama kalinya menyasarkan kem El-Buss berhampiran bandar Tyre.

Kumpulan pejuang Barisan Pembebasan Palestin (PFLP) turut mengesahkan tiga pemimpinnya terbunuh dalam serangan Israel di Beirut.

Jelas PFLP awal pagi semalam, serangan berkenaan disasarkan terhadap sebuah pangsapuri di daerah Kola. 

Mereka yang maut ialah ketua jabatan ketenteraan PFLP, Muhammad Abdel Aal, komander PFLP di Lubnan, Imad Awda dan Abdul Rahman Abdel Aal.

Rangkaian Penyiar Kebangsaan Lubnan mendedahkan, serangan dilancarkan pesawat tanpa juruterbang (UAV) Israel. 

Ia berlaku selepas satu serangan di Beirut, membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, kelmarin.

Semalam, Israel terus menyasarkan kumpulan Houthi di Yemen dan Hezbollah di Lubnan dalam beberapa serangan di dua negara tersebut.

Bedilan berterusan itu dibimbangi mencetuskan konflik di Asia Barat yang boleh menyaksikan campur tangan Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, lebih 1,000 rakyatnya maut sementara 6,000 yang lain cedera sejak Israel melancarkan serangan dua minggu lalu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×