BEIRUT: Tentera Israel mendakwa membunuh ketua perisikan Hezbollah dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut, semalam.
Dalam satu kenyataan, tentera mendakwa, pasukan udaranya menyasarkan Hassan Khalil Yassin, yang bertanggungjawab dalam unit perisikan Hezbollah.
“Yassin mengetuai jabatan yang bertanggungjawab mengenal pasti sasaran awam dan ketenteraan di sempadan utara dan di dalam wilayah Israel,” kata kenyataan itu.
Semalam, Hezbollah mengesahkan kematian Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu pejabatnya di Dahiyeh, selatan Beirut pada Jumaat.
Nasrallah, yang mengetuai Hezbollah selama lebih tiga dekad, merupakan sasaran paling berpengaruh yang dibunuh Israel sepanjang beberapa minggu pertempuran sengit itu.
Kematian Nasrallah menandakan detik penting dalam konflik berterusan antara Hezbollah dan Israel.
Hezbollah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan konflik di Gaza, yang kini membunuh 41,600 orang.
Baru-baru ini, Israel menggiatkan serangan udara berskala besar di Lubnan, membunuh lebih 700 orang awam dan pejuang Hezbollah dan menyebabkan ribuan penduduk menjadi pelarian.- ANADOLU










