Tidak serah walau seinci tanah

Tidak serah walau seinci tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tetap mahu mempertahankan rumah kampung di tengah-tengah kepesatan ibu kota, penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur, tidak mudah ‘kelabu mata’ atau ‘gelap mata’ walaupun ditawarkan jutaan ringgit untuk menjual aset mereka di kampung tersebut.

Mereka yang ditemui mengakui pernah ditawarkan harga mencecah RM4 juta oleh pihak tertentu tetapi kerana sayangkan rumah tersebut, dan enggan kehilangan rumah yang diwarisi daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka, tawaran yang boleh dikatakan lumayan itu, tidak disambut.

Mereka percaya, sekiranya tapak rumah itu jatuh ke tangan pihak lain, mereka akan kehilangan harta pusaka tersebut selama-lamanya.

Bukan setakat itu, selain mempertahankan tanah tersebut, urusan jual beli hartanah di situ juga bukan mudah kerana banyak nama dalam satu geran.

IBRAHIM MOHD. TAHIR

Seorang penduduk, Ibrahim Mohd. Tahir menjelaskan, sekiranya rumah yang didudukinya di Jalan Hamzah mahu dibangunkan, ia memerlukan pembangunan satu Kampung Baru dan rumah penduduk dibaik pulih sepenuhnya.

“Tidak ada Kampung Baru, tidak ada orang Melayu di bandar,” katanya kepada Mingguan Malaysia sambil menegaskan mereka yang tinggal di situ sayangkan Kampung Baru sebagai tanah tumpah darah mereka yang perlu dipertahankan.

Ibrahim berkata, dia turut me­ngingatkan anak-anak­nya supaya tidak menjual rumah mereka ke­rana sekiranya jatuh ke tangan pihak lain, sampai bila-bila pun ia tidak dapat ditebus dan dapat dikembalikan semula.

Tegasnya, wang bukan segala-galanya dalam hidup, meskipun ditawarkan jutaan ringgit supaya menjual rumah mereka.

Ceritanya, antara pendekatan pihak pemaju hartanah adalah menawarkan jutaan ringgit kepada beberapa pemilik tanah supaya menjual tanah tersebut tetapi selalunya gagal memperolehnya kerana ada penduduk yang menolak tawaran tersebut.

“Bagaimanapun, saya tetap bimbang kerana ada segelintir orang Melayu mudah gelap mata dengan tawaran lumayan jutaan ringgit,” ujarnya.

Rumah Ibrahim Mohd. Tahir di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang semakin diapit oleh pembangunan mega terutama projek hartanah komersial.
– MINGGUAN MALAYSIA /M. FIRDAUS M. JOHARI

 

GERAN TANAH BANYAK PENAMA

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran MAS, Shamsuri Suradi berharap, antara masalah utama yang perlu diselesaikan kerajaan adalah isu geran tanah di situ yang mempunyai banyak penama.

“Kadangkala berlaku pertikaian kerana masing-masing ahli keluarga penduduk menuntut hak,” terangnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui akan kepentingan pembangunan Kampung Baru tetapi ia perlu kajian menyeluruh dan melibatkan banyak pihak se­perti DBKL, MAS dan Perbada­nan Kampung Baru (PKB) yang ditubuhkan sebelum ini.

Bagaimanapun, sekiranya isu geran tanah tidak diselesaikan agak sukar untuk melaksanakan niat murni tersebut.

PKB yang diwujudkan sebelum ini telah menyediakan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Bharu (PITPKB) sebagai usaha membangunkan kampung Melayu tersebut menjelang 2035 selaras dengan keperluan akta Perbadanan Kampung Baru 2011 yang memberi tanggung jawab kepada PKB.

Namun bagi Shamsuri, penekanan perlu diberi kepada beberapa aspek dalam niat murni tersebut iaitu berteraskan ekonomi orang Melayu, kebudayaan dan nilai- nilai tradisi penduduk Melayu di situ.

Justeru, semua pihak terlibat perlu duduk bersama semula bagi merencana agenda besar pembangunan kampung tersebut.

Beliau berkata, tidak mustahil isu tersebut boleh diselesaikan.

Menurut Shamsuri, terdapat tujuh kampung kecil yang wujud setelah Kemerdekaan pada 1957 kerana populasi setiap kampung bertambah terdiri daripada etnik-etnik Nusantara seperti Melayu Melaka, Jawa, Minang dan Mandailing manakala MAS menamakan tujuh kampung berkenaan dengan identiti tersendiri.

SHAMSURI Suradi menunjukkan peta perumahan asal Kampung Baru kepada wartawan Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Pada awal penubuhannya, Kampung Baru berkeluasan le­bih 200 ekar dengan lebih 300 lot tanah berkeluasan antara 800 hingga 1,000 kaki persegi.

Beliau mendakwa, PKB tidak seaktif seperti dahulu oleh ke­rana tidak menampakkan impak yang jelas peranannya sejak ditubuhkan 2012.

 

HARGA DITAWAR TERLALU RENDAH

Segelintir penduduk Kampung Baru di sini menolak untuk menjual tanah mereka kerana harga yang ditawarkan terlalu rendah.

Sebagai contoh, harga ditawarkan antara RM300 hingga RM400 sekaki persegi sedangkan di kawasan KLCC yang terletak berhampiran mencecah RM1,000.

Mengenai rumahnya di Jalan Hamzah yang berkeluasan kira-kira 3,000 kaki persegi, Ibrahim Mohd. Tahir berkata, ia diwarisi daripada datuknya yang bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ibrahim juga berkata, dia tidak akan mengubah seni bina asal rumah tersebut melainkan hanya memperbaikinya jika berlaku kerosakan.

ANIES MAIZURA IBRAHIM

Sementara itu, anaknya, Anies Maizura Ibrahim turut menegaskan, rumah pusaka berusia 100 tahun itu perlu dipertahankan seperti dipesan oleh bapanya.

Apatah lagi, katanya, ketika ini agak sukar mencari orang asal Kampung Baru.

“Pernah ada yang datang tawar RM4 juta (beli rumah), tapi tidak mahu jual, saya beritahu kepada bapa, apalah sangat duit sebanyak itu sekejap akan habis,” ujarnya.

Anies Maizura berkata, dia sayangkan rumah tersebut kerana kedudukannya dan sanggup tinggal menetap di situ meskipun sudah membeli rumah sendiri di tempat lain.

“Ini satu-satunya kawasan Melayu di tengah bandar,” ujarnya memberitahu rumah empat bilik tersebut berusia 100 tahun, pernah memenangi pertandingan rumah tradisional anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi seorang lagi penduduk yang juga pemilik rumah tradisional di Jalan Raja Abdullah, Mohamed Yusoff Razali, 74, dia berharap rumahnya terus kekal kerana mengenangkan dia lahir di situ.

“Bukan setakat mahu bernostalgia tetapi penduduk harus menghargainya memandangkan tanah Kampung Baru merupakan anugerah Sultan Selangor.

“Kampung Baru adalah tanah yang dianugerah oleh Sultan Se­langor, maka kenapa pula kita hendak menjualnya?” soalnya.

Dia turut berpesan kepada anak-anaknya supaya memikirkan sedalam-dalamnya untuk menjual tanah tersebut apabila dia sudah tiada.

Mohamed Yusoff yang pernah bekerja sebagai pengurus projek berkata, antara sebab tanah di situ sukar untuk dijual kerana banyak nama dalam geran tanah.

ZANZAINI WAN JAN

Bagi isterinya, Zanzaini Wan Jan, 72, kemunculan bangunan pencakar langit di sekeliling rumahnya bukanlah ancaman, sebaliknya seronok dipandang terutama pada waktu malam.

“Kampung Baru ini syurga makanan dan banyak lampu, saya tidak terfikir tinggal di tempat lain. Bukan senang hendak dapat rumah macam ini, lokasinya dikelilingi pelbagai macam tarikan,” ujarnya sambil memberitahu rumahnya kini berusia lebih 100 tahun dan berharga jutaan ringgit

Kata Zanzaini, ada pihak pernah menawarkan untuk membeli tapak rumah tersebut tetapi harganya bagaikan tidak masuk akal kerana terlalu rendah.

“Lagi pun, orang Melayu patut pertahan rumah tradisional di sini. Meskipun berasal dari Perlis dan mempunyai rumah di sana , tetapi saya tetap mahu menetap di sini,” ujarnya sambil memberitahu tidak tidak tahu hendak ke mana lagi, Kampung Barulah tempatnya.

Dia juga menyatakan bangunan yang ‘tumbuh’ di sekeliling Kampung Baru bukan ancaman kepada keselesaan mereka tetapi menyerikan persekitaran.

Rumah penduduk asal Kampung Baru, Kuala Lumpur yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional perkampungan Melayu. – MINGGUAN MALAYSIA/M. FIRDAUS M. JOHARI

Berdasarkan sejarah, Kampung Baru sebenarnya satu kawasan yang diwujudkan seawal 1899 atas desakan penduduk Melayu di Kuala Lumpur ke atas pentadbiran British.

Atas desakan tersebut, Resi­den British Selangor bersetuju me­nubuhkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur antara Sungai Klang dan Jalan Batu.

Pada 1900, Kampung Baru atau nama asalnya Kampong Bharu diiktiraf Sultan Selangor iaitu Sultan Alaudin Suleiman Shah sebagai penempatan masyarakat Melayu.

Maka Kampung Baru dirizabkan sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) dan diwartakan pada 12 Januari 1900 oleh Residen Selangor menerusi kebenaran Seksyen 6 Enakmen Tanah 1887.

Menerusi enakmen tersebut, penempatan baharu dirancang dengan keluasan lebih kurang 220 ekar terdiri daripada beberapa kampung kecil sebagai kawasan penempatan pertanian, khusus­nya tanaman padi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×