PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) perlu mengambil langkah segera bagi menangani isu polisi tempoh masa hotel yang tidak adil kepada pengunjung kerana dikhuatiri memberi impak buruk terhadap sektor pelancongan negara.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, kementerian itu perlu mengenal pasti syarikat hotel yang bertindak melaksanakan polisi masuk lewat dan keluar awal.
Beliau turut mendakwa, berkemungkinan hotel yang berbuat sedemikian adalah hotel yang beroperasi secara tidak sah selain faktor tempahan bilik yang banyak pada masa kemuncak.
“Kementerian perlu mengenalpasti hotel mana yang melakukan polisi seperti itu. Mereka perlu adakan perbincangan dengan pihak hotel tersebut dan bukannya menyalahkan semua hotel dalam Malaysia.
“Kita tidak tahu berapa banyak hotel yang berbuat demikian. Saya merasakan hotel besar atau bertaraf lima bintang tidak melakukannya, mungkin ia melibatkan hotel yang beroperasi secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular tindakan sesetengah hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula pukul 4 petang dan keluar pada pukul 11 pagi.
Tindakan itu mencetus perbincangan warga maya yang rata-ratanya berasa tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberi singkat.
Semalam, Motac memaklumkan bakal mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel selain mencari penyelesaian yang adil tanpa membebankan pelanggan.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, penyelenggaraan bilik selepas penginapan oleh pelanggan memerlukan masa yang panjang akibat prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19 yang memerlukan sebuah bilik disanitasi.
“Mengemas bilik selepas pelanggan menggunakannya sudah memakan masa sehingga 45 minit, kini ditambah pula proses sanitasi sehingga mengambil masa satu jam secara keseluruhan.
“Malah, proses menjadi lambat juga disebabkan oleh faktor kekurangan kakitangan di beberapa hotel,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, isu yang tular tidak akan memberi kesan secara keseluruhan kepada Malaysia.
“Bagaimanapun, adalah baik untuk kementerian mengambil perhatian terhadap perkara ini dan kami berharap ia dapat membantu dalam beberapa kes yang lebih ekstrem dan terpencil melibatkan industri perhotelan,” katanya.










