TANGGAL 20 September lalu telah meninggalkan memori paling bersejarah apabila bergemanya laungan reformasi yang menjadi bualan generasi muda.
PKR terus dapat bertahan sehingga hari ini kerana agenda yang dibawa sangat dekat sekali dengan aspirasi rakyat terbanyak.
Gema laungan reformasi berkumandang sepanjang berlangsungnya Himpunan Gerakan Rakyat menggamatkan suasana di luar dan dalam Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil tempoh hari.
Mencuri perhatian apabila kelibat seorang wanita muda, Nur Aishah Zainol yang merupkan aktivis dan anggota jawatankuasa cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pematang Pauh bangun tanpa menghiraukan orang ramai dengan bersemangat melaungkan kata-kata keramat yang dilontarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya tidak sedikitpun merasa terkejut dengan tindakannya itu kerana ia boleh berlaku secara spontan dan pada masa sama untuk menzahirkan sokongan terhadap perjuangan reformasi PKR.
Bahkan jiwa wanita itu dikatakan mudah tersentuh apabila berkumandang laungan kata-kata keramat yang menjadi moto utama perjuangan PKR.
Biarpun dirinya tidak merasai situasi sebenar berdepan ujian getir seperti water canon dan tekanan demi tekanan daripada pihak berkuasa memerintah namun secara relatifnya wanita berkenaan seolah dapat menyelami jerit perit atau susah payah yang pernah dilalui pejuang reformasi sebagaimana dialami Anwar.
Dengan segala penat lelah dan bukan omongan kosong, Anwar berjanji di hadapan puluhan ribuan rakyat bahawa di dalam pembentangan Bajet pada Oktober ini, beliau akan cuba menangani kos sara hidup rakyat.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang










