BEIRUT: Pertempuran antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak, tatkala negara-negara dunia meningkatkan gesaan untuk menghentikan keganasan dan mencapai gencatan senjata.
Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya termasuk negara-negara Arab Teluk, berusaha untuk menawarkan jalan penyelesaian dengan mencadangkan gencatan senjata selama 21 hari secara serta-merta bagi memberi ruang diplomasi.
Bagaimanapun, usaha meredakan ketegangan masih kabur apabila kedua-dua pihak khususnya Israel, tetap bertegas meneruskan serangan.
Konflik ini memberikan kesan ketara kepada Hezbollah selepas meragut nyawa ratusan pejuang termasuk pemimpin kanan kumpulan itu.
Serangan udara Israel membunuh dua komander tertinggi di Beirut dalam tempoh kurang seminggu, selain pengeboman dilancarkan di tapak yang didakwa milik Hezbollah di seluruh Lubnan, membunuh lebih 700 orang.
Setakat ini, Israel jelas mempunyai kelebihan ketenteraan yang mungkin menyebabkan rejim itu enggan berkompromi untuk menghentikan serangan.
Walaupun rejim itu berada di kedudukan ketenteraan yang lebih kukuh, implikasi permusuhan berterusan termasuk ancaman pencerobohan darat akan mengheret kepada ketidakstabilan serantau.
Tidak mustahil, keupayaan ketenteraan Israel merosot jika peperangan meluas berlaku, memandangkan rejim itu sudah hampir setahun bertempur dengan Hamas di Gaza.
Menurut Koresponden Hal Ehwal Ketenteraan akhbar Yediot Ahronot, Yossi Yehoshua, Hezbollah belum menggunakan 10 peratus daripada keupayaannya dalam pertempuran kali ini.
PRINSIP HEZBOLLAH, MATLAMAT ISRAEL
Sejak awal konflik di sempadan, Hezbollah berulang kali menegaskan prinsipnya yang mahu gencatan senjata kekal di Gaza sebagai syarat kumpulan itu menghentikan serangan.
Namun, berbulan-bulan rundingan yang diketuai AS, Qatar dan Mesir masih menemui jalan buntu terhadap usaha itu.
Bagi Hezbollah, menghentikan serangan tanpa mendapatkan sebarang keuntungan nyata kepada Palestin akan dianggap sebagai menyerah dengan tekanan Israel, menjadikan usaha mereka sia-sia.
Namun, sudah pasti syarat yang melibatkan gencatan senjata di Gaza sukar dipenuhi oleh Israel, kerana rejim juga melihat ia sebagai ganjaran bagi serangan roket Hezbollah yang menyebabkan pemindahan puluhan ribu warganya sejak hampir setahun lalu.
Matlamat Israel di Lubnan sebenarnya jauh lebih terbatas berbanding Gaza, ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berjanji untuk mencapai kemenangan menyeluruh terhadap Hamas dan membawa balik tebusan.
Dalam konfliknya dengan Hezbollah, Israel hanya mahu memastikan puluhan ribu penduduk yang dipindahkan dari utara hampir setahun lalu, dapat kembali ke rumah mereka dengan selamat.
CABARAN POLITIK NETANYAHU
Tekanan politik yang dihadapi Netanyahu juga mungkin menjadi punca Perdana Menteri itu semakin kusut merangka strategi peperangan di Lubnan dan Gaza.
Khamis lalu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mahu kempen Israel di utara berakhir dengan menghancurkan keupayaan Hezbollah.
Manakala, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir juga menolak gencatan senjata sementara dengan Hezbollah dan mengancam akan keluar dari kerajaan jika Netanyahu menerima usaha berkenaan.
Walaupun parti pembangkang mungkin akan menyokong gencatan senjata, namun Netanyahu tidak boleh mengabaikan rakan gabungannya dalam kerajaan.
Ini kerana, pengunduran rakan gabungan akhirnya berisiko menjatuhkan kerajaan Netanyahu dan memaksa pilihan raya awal yang boleh mengakhiri karier politiknya.
Tindak-tanduk Netanyahu kini hanyalah sekadar menjaga hayat politik, memandangkan beliau mengetahui dirinya semakin ditolak oleh rakyat dan terus dikritik parti pembangkang.











