BEIRUT: Israel menolak gesaan global untuk gencatan senjata dengan Hezbollah dan meneruskan kempen pengeboman yang membunuh lebih 700 orang di Lubnan sejak Isnin.
Keganasan minggu ini di Lubnan memaksa lebih 90,000 orang meninggalkan rumah mereka, dengan 70,000 bersesak di 400 sekolah dan tempat perlindungan lain.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), merekodkan jumlah perpindahan sejak Isnin berdasarkan data daripada Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat.
OCHA berkata, ia amat bimbang terhadap keselamatan orang awam di kedua-dua belah Garis Biru antara Israel dan Lubnan.
Agensi Pelarian PBB (UNHCR) di Syria menganggarkan lebih 10,000 orang menyeberang dari Lubnan ke Syria akibat permusuhan itu.
Katanya, peningkatan keganasan di wilayah tersebut menjejaskan akses pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam penting lain di Lubnan.
OCHA berkata, Kementerian Pendidikan Lubnan menangguhkan sesi persekolahan sehingga 14 Oktober, yang menjejaskan ribuan pelajar di seluruh negara.
Pejabat itu berkata, serangan udara Israel pada kelmarin merosakkan empat lagi stesen air, menyebabkan akses air bersih untuk lebih 250,000 penduduk terjejas.
Menurut OCHA, pertempuran memaksa 18 pusat penjagaan kesihatan utama ditutup sejak semalam.– AGENSI











