Israel rancang serangan darat di Lubnan

Israel rancang serangan darat di Lubnan

KESESAKAN berlaku selepas penduduk yang melarikan diri dari Lubnan tiba di sempadan Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi darat di Lubnan ketika Hezbollah melepaskan berpuluh-puluh roket merentasi sempadan hingga ke Tel Aviv.

Berucap kepada tentera di sempadan utara, Ketua Staf, Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata, serangan udara Israel minggu ini direka untuk menyediakan medan kemungkinan serangan darat bagi melemahkan martabat Hezbollah.

“Hari ini, Hezbollah memperluaskan jangkauan tembakannya dan kemudian mereka akan menerima tindak balas yang sangat kuat. Persiapkan diri kamu,” katanya dalam rujukan jelas kepada peluru berpandu yang dilepaskan ke Tel Aviv.

Tidak jelas sama ada beliau merujuk kepada operasi darat, serangan udara atau beberapa bentuk tindakan balas terhadap Hezbollah. 

Hezbollah merupakan kuasa politik terkuat Lubnan yang disokong Iran dan secara meluas dianggap sebagai kumpulan separa tentera teratas di dunia Arab.

Rejim itu memaklumkan akan mengaktifkan dua briged simpanan untuk misi di utara, satu lagi petanda Israel merancang tindakan yang lebih tegas.

Pegawai tentera Israel berkata, mereka memintas peluru berpandu permukaan ke permukaan yang mencetuskan siren serangan udara di Tel Aviv dan merentasi tengah Israel, namun tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan.

Jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani berkata, peluru berpandu yang ditembak itu mempunyai kepala peledak berat tetapi enggan mengulas atau mengesahkan ia adalah jenis yang diterbangkan oleh Hezbollah. 

Shoshani turut menolak dakwaan Hezbollah yang menyasarkan ibu pejabat Mossad di utara Tel Aviv sebagai perang psikologi.

Tentera Israel berkata, ia adalah kali pertama peluru yang dilepaskan dari Lubnan sampai ke Israel tengah.

Di bandar Eilat di selatan Israel, sebuah bangunan di pelabuhan itu dibedil dron dan rakaman yang disiarkan di media menunjukkan kepulan asap di kawasan itu dengan dua orang dilaporkan cedera. 

USAHA GENCATAN SENJATA

Israel berikrar melakukan apa sahaja untuk memastikan rakyatnya boleh pulang ke rumah mereka di utara, manakala Hezbollah pula nekad meneruskan serangan roketnya sehingga ada gencatan senjata di Gaza, sesuatu yang kelihatan semakin samar.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa Israel dan Hezbollah berundur, menegaskan perang habis-habisan hanya akan membawa malapetaka kepada rantau itu dan rakyatnya.

Blinken berkata, AS sedang bekerjasama dengan rakan kongsi lain dalam rancangan gencatan senjata sementara bagi mengurangkan ketegangan dan membenarkan penduduk Israel dan Lubnan pulang ke rumah mereka di kawasan sempadan.

Menurut pegawai AS, terdapat beberapa pelan yang tidak spesifik tentang rancangan itu dan mungkin dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di Lubnan yang dipanggil Perancis.

Kementerian kesihatan Lubnan berkata, seramai 72 orang terbunuh dalam serangan berterusan Israel yang meningkatkan jumlah kematian kepada 636 orang sejak tiga hari lalu.

Keluarga yang melarikan diri berpusu-pusu ke Beirut dan bandar pesisir pantai Sidon, tidur di sekolah yang bertukar menjadi tempat perlindungan, di dalam kereta, taman dan di sepanjang pantai. 

Ada yang berusaha meninggalkan negara itu, menyebabkan kesesakan lalu lintas di sempadan Syria.

PBB berkata, lebih 90,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel selama lima hari. 

Secara keseluruhannya, 200,000 orang kini menjadi pelarian di Lubnan sejak Hezbollah mula menembak roket ke utara Israel hampir setahun lalu.

Kehidupan lebih satu juta orang di seluruh utara Israel turut terjejas dengan banyak perniagaan, sekolah ditutup dan perhimpunan awam dihadkan di bandar pesisir pantai Haifa selepas mereka yang melarikan diri dari komuniti berhampiran sempadan kembali diserang roket.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×