BEIRUT: Sekurang-kurangnya 16 maut dan puluhan yang lain cedera dalam serangan udara terbaharu Israel di Lubnan, hari ini.
Kementerian Kesihatan berkata, empat terbunuh dan 38 lagi cedera dalam serangan udara Israel di wilayah Baalbek-Hermel di timur Lubnan.
Lima lagi terbunuh dan 27 yang lain cedera dalam serangan Israel di bandar Tebnine dan Bint Jbeil di selatan Lubnan, kata kementerian dalam satu kenyataan.
Agensi Berita Nasional melaporkan, pesawat perang Israel turut membedil bandar Joun di selatan, membunuh empat orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Tiga lagi terkorban dan sembilan orang cedera dalam satu serangan udara di bandar Maaysrah di Keserwan, timur laut Lubnan.
Ini adalah kali pertama pesawat pejuang Israel menyerang Keserwan sejak tercetusnya pertempuran rentas sempadan dengan Hezbollah pada 8 Oktober tahun lalu.
Terdahulu, tentera Israel mendakwa menyerang lebih 100 sasaran yang didakwa kubu Hezbollah di Lubnan sejak pagi Rabu.
Sehingga kini, gelombang serangan udara Israel di Lubnan membunuh hampir 570 orang dan mencederakan lebih 1,800 yang lain.
Masyarakat antarabangsa memberi amaran serangan Israel di Lubnan berisiko memperluaskan lagi konflik Gaza ke serantau.– ANADOLU











