PETALING JAYA: Pekerja dalam ekonomi gig terutama p-hailing dan e-hailing, kini terbeban dengan hutang akibat penawaran daripada pihak syarikat yang tidak terkawal.
Menerusi data tidak rasmi setakat 2023, jumlah keseluruhan pekerja ekonomi gig 440,000 orang dengan e-hailing (170,000 pemandu) dan p-hailing (270,000 penghantar).
Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, jumlah pekerja dalam industri kini sudah melebihi permintaan.
Kata beliau, ia menyebabkan penurunan pendapatan sehingga pekerja terpaksa bekerja lebih masa bagi memperoleh wang yang cukup untuk membayar komitmen bulanan.
“Kebanyakan mereka sudah membuat komitmen bulanan sebelum ini, tetapi apabila tiadanya kawalan terhadap orang yang masuk ke dalam industri ini, menyebabkan pendapatan mereka merudum dan terpaksa bekerja lebih masa.
“Ini kerana, kami perlu menunggu hingga 15 minit untuk mendapatkan pesanan, ia menunjukkan jumlah penawaran sudah melebihi daripada jumlah permintaan.
“Jika sebelum ini untuk mendapatkan RM150, perlu kerja sekitar lapan jam sehari tetapi sekarang untuk mendapatkan jumlah pendapatan yang sama perlu kerja hingga 12 jam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Jose berkata, perkara tersebut menyebabkan berlakunya masalah kesihatan dan sosial dalam kalangan pekerja-pekerja ekonomi gig.
“Persaingan seperti ini menyebabkan industri ekonomi gig menjadi kucar-kacir dan tidak mendatangkan manfaat kepada pekerja secara keseluruhan.
“Kami ada mendapat laporan bahawa terdapat pemandu e-hailing yang microsleep semasa membawa penumpang kerana beliau terpaksa bekerja lebih masa.
“Kami juga menerima laporan ada pekerja p-hailing yang bekerja melebihi 10 jam sebelum terlibat dengan kemalangan,” jelasnya.
Ditanya bertukar ke industri lain atau formal, Jose berkata, terdapat pekerja ekonomi gig yang tidak dapat menceburi bidang tersebut.
“Kalau mereka ada peluang untuk menceburi sektor lain, sudah pasti mereka akan keluar, tetapi bagaimana pula dengan yang tidak mempunyai peluang atau keupayaan tersebut?
“Mahu atau tidak, mereka terpaksa duduk di dalam industri ekonomi gig ini untuk mencari mata pencarian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berharap Akta Penggiat Gig dan Pekerja Platform yang dijangka dibentang pada Disember ini akan dapat menoktahkan penderitaan kumpulan tersebut.
“Kami dapat maklumat bahawa akta tersebut mempunyai empat perkara yang difokuskan antaranya, mengenai kadar upah adil untuk pekerja.
“Jadi, kita harap akta tersebut dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja-pekerja ekonomi gig sejak dahulu lagi,” katanya. – UTUSAN










