Penduduk Lubnan menangis terima mesej amaran tinggalkan kediaman

Penduduk Lubnan menangis terima mesej amaran tinggalkan kediaman

SEORANG wanita memangku anaknya berhampiran beg pakaian mereka di Jdeidat Yabus di sempadan Syria dengan Lubnan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Penduduk di sekitar Lubnan terutamanya di pinggir bandar selatan dan Lembah Bekaa menerima mesej daripada nombor tidak dikenali  memberi amaran kepada mereka untuk meninggalkan rumah dengan segera.

Menurut laporan media, kira-kira 80,000 mesej arahan pemindahan tersebut sudah dihantar kepada penduduk.

“Saya mula menangis. Saya menjerit kepada ibu saya untuk meletakkan telefon dan terus bersiap,” kata seorang kanak-kanak, Zahra.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu bersama ibu bapanya kini terpaksa menumpang di rumah saudara di daerah Baabda.

Mereka melarikan diri ketika serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 569 orang dan mencederakan 1,645 yang lain, kebanyakannya orang awam.

Video saksi menunjukkan kereta penuh sesak di jalan raya dari selatan Lubnan, dengan beberapa klip menyaksikan asap berkepul di udara berikutan serangan berhampiran.

Ramai yang melarikan diri tanpa tahu ke mana mereka hendak pergi.

Banyak sekolah dan taska ditutup untuk dijadikan tempat perlindungan kepada pelarian dalaman yang baharu, angka yang sudah mencecah 102,000 orang sebelum serangan Isnin lalu.

Walaupun ramai yang sempat melarikan diri, ratusan yang lain terbunuh di rumah mereka.

Gambar tular di media sosial menunjukkan keadaan tragis 50 kanak-kanak dan 94 wanita yang terbunuh akibat serangan udara Israel.

Menurut Al Jazeera, sekurang-kurangnya 37 bandar dan kampung musnah selepas rejim itu mendakwa mereka berjaya membedil 1,600 sasaran Hezbollah.

Serangan itu berlaku di sekitar sekolah, galeri tempatan dan kilang tenusu tempatan yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) dan dikaitkan dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Institut Teknikal Bir Hassan, sukarelawan membawa botol air, ubat-ubatan dan bekalan lain untuk pelarian baharu.

Rima Ali Chahine, 50, berkata, pusat perlindungan itu menyediakan lampin, pastri dan susu untuk kanak-kanak.

“Perang ini beri banyak tekanan kepada orang dewasa dan kanak-kanak. Mereka letih dan tertekan. Mereka tidak boleh tidur dan terpaksa hidup dalam keadaan yang teruk,” katanya.

HANYA AS BOLEH HENTIKAN KONFLIK 

Lubnan menegaskan hanya Washington boleh membantu menamatkan pertempuran yang semakin memburuk itu.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat semalam bagi membincangkan konflik itu.

“Lubnan berada di ambang ketegangan. Rakyat Lubnan, penduduk Israel malah rakyat di seluruh dunia tidak mampu menjadikan Lubnan sebuah lagi Gaza,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Di PBB, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membuat rayuan untuk bertenang. 

“Peperangan berskala penuh bukan untuk kepentingan sesiapa. Walaupun ketegangan meningkat, penyelesaian diplomatik masih boleh dilakukan,” katanya.

Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib mengkritik ucapan Biden sebagai tidak lantang dan tidak menjanjikan apa-apa.

Beliau malah menegaskan AS adalah satu-satunya negara yang benar-benar boleh membuat perubahan di Asia Barat dan menghentikan konflik di Lubnan

“Washington ialah sekutu lama Israel dan pembekal senjata terbesar.

“AS adalah kunci kepada keselamatan kita,” katanya pada acara di New York City yang dihoskan oleh Carnegie Endowment for International Peace.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×