‘Diri sudah sebati dengan Kuala Lumpur’

‘Diri sudah sebati dengan Kuala Lumpur’

SYED YAZID SYED OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PEMILIHAN bagi mengisi jawatan pentadbiran merupakan ‘rutin’ biasa bagi mana-mana persatuan sukan, cuma kali ini kerusi Presiden bagi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menjadi ‘panas’ selepas Kabinet memutuskan menteri dan timbalan menteri tidak boleh bertanding dalam persatuan sukan.

Suhu pemilihan yang bakal diadakan pada 12 Oktober nanti bagi menentukan kepimpinan baharu selepas kongres pemilihan pada 7 September lalu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu salah laku menjelang pemilihan badan induk itu.

Bahang pemilihan semakin terasa selepas persatuan ini turut terpalit dengan kontroversi tunggakan gaji sehingga tujuh bulan.

Kerana itu, ia menjadi cabaran besar buat Naib Presiden KLFA, SYED YAZID SYED OMAR, 46 yang menawarkan diri bertanding kerusi panas tersebut secara satu lawan satu dengan pemangku Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan FADHILUL IZMEL ISHAK serta jurufoto NURUL NAJWA HASRAN, beliau tidak mahu menjanjikan langit dan bintang sebaliknya menawarkan pengalaman selama 11 tahun bersama persatuan ini dan sebagai Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengubah KLFA sebagai sebuah kelab bola sepak yang digeruni.


PENGALAMAN
Saya mula menyertai KLFA sejak 2013 sebagai Pengurus Sukan Belia. Pada 2014 sebagai exco. Saya bekerja dengan tiga presiden iaitu Datuk Astaman Abdul Aziz, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan juga Khalid Samad. Terbaharu bersama Abdullah Sani. Secara keseluruhannya, kami sebagai pasukan bekerja dengan baik dan mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

Jika dilihat Astaman berjaya dari segi pembangunan kelab secara keseluruhan, Adnan pula bijak mengatur dengan membawa pemain campuran sementara Khalid mempunyai mentaliti untuk membawa kelab pergi jauh. Jadi, kombinasi kekuatan ketiga-tiga bekas presiden ini akan saya gunakan dan bawa ke zaman saya nanti.

Ketika ini saya menjawat jawatan Naib Presiden KLFA sejak 2019 dan Exco FAM sejak 2021. Bahkan merupakan Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn. Bhd. yang menguruskan Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) bermain di Liga Super dan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Saya juga pengurus Pasukan Belia, Piala Presiden, Piala Emas, Piala Raja-Raja, Piala Sukma dan ‘caretaker’ Piala Liga Perdana. Selain itu merupakan pengarah pasukan Liga Super.

Pada saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini, saya bertindak selaku pengurus pasukan berjaya membawa pasukan Wilayah Persekutuan melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memenangi pingat emas sejak acara itu dipertandingkan 38 tahun lalu.

Selain itu, skuad The City Boys turut memenangi Piala Malaysia pada 2021 serta muncul naib juara Piala AFC dan Piala FA masing-masing pada 2022 dan 2023 lalu. Selain itu, pasukan turut menjadi Juara Liga Perdana 2017.

Sementara e-sukan Sukan Sea Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Vietnam, kita mendapat gangsa. Ketika itu saya merupakan pengurus pasukan.

Jika berdasarkan pengalaman selama 11 tahun, pastinya saya mengetahui dan memahami selok-belok persatuan. Bahkan hubungan saya dengan pemain dan pasukan sangat baik, tiada masalah.

KERUSI ‘PANAS’ PRESIDEN JADI REBUTAN
Saya terbuka, siapa-siapa boleh bertanding. Tidak kisahlah dari bidang seni atau apa tetapi jika dia ada rasa minat, tanggungjawab, ada rasa untuk perbaiki pasukan KL City ini untuk jadi lebih baik, saya positif.

Saya tiada apa-apa isu. Saya sangat okey untuk siapa-siapa yang mahu bertanding. Mereka dialu-alukan.

MINAT SAHAJA TIDAK CUKUP
Setahu saya, selebriti Datuk Afdlin Shauki ada berjumpa kelab gabungan dan dia juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi ada hubungan terus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. Ini adalah platform beliau untuk membantu pasukan KL City. Itu mungkin kelebihan beliau.

KELESTARIAN KEWANGAN
KLFA setiap tahun secara tradisi menerima dana daripada DBKL, selain dapat menggunakan padang latihan, stadium dan sebagainya. Terima kasih kepada DBKL atas sokongan ini.

BERANI BERTANDING
Terus terang saya katakan saya berani ke depan bertanding jawatan ini kerana Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Penaung Kuala Lumpur City, Fahmi Fadzil serta Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa tidak pernah berhenti menyatakan sokongan kepada persatuan ini. Sebab itu saya berani tawarkan diri. Kedua-dua mereka sangat mengambil berat tentang pasukan ini.

JAMINAN APABILA MENANG
Insya-allah jika ada rezeki, pertama sekali ia adalah daripada undi kelab gabungan. Kita ada 28 kelab gabungan. Pastinya saya akan merapatkan diri dengan kelab gabungan dan akan ada program yang lebih teratur dengan mereka.

Maksudnya, akan ada program yang lebih teratur membabitkan liga tempatan Kuala Lumpur. Saya akan memperbanyakkan pertandingan dan mencari padang yang lebih sesuai dan ia tidak semestinya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja.

SERAHKAN KEPADA TAKDIR
Saya tidak boleh kata saya yakin menang selagi tidak menang kerana apa-apa boleh jadi. Sama seperti esok mahu kahwin, tiba-tiba bakal isteri lari pula. Jadi, kita serahkan kepada takdir.

PENGORBANAN YANG TIDAK SIA-SIA
Jika kalah pun tidak mengapa. Saya masih ada kelab gabungan. Dalam masa sama akan terus memberi sokongan sebabnya saya adalah orang Kampung Baru, anak jati Kuala Lumpur. Diri ini sudah sebati dengan Kuala Lumpur.

NILAI KL CITY
Mereka ini isu gaji sahaja, hal pemain tiada masalah. Mereka sudah ada nilai sentimental, seperti anda ingin putus dengan teman lelaki tetapi tidak boleh sebab terlalu sayang tetapi dalam masa sama sakit hati.

Kita faham emosi pemain sangat merundum sejak isu gaji dan sehingga sekarang masih belum selesai sepenuhnya.

Bukannya saya yang dedahkan ketika masalah kewangan sudah di peringkat kritikal. Saya tidak tahu sehingga seorang wartawan telefon dan bertanya mengenai isu ini. Kemudian salah seorang pemain, Paola Josue yang mendedahkan gaji mereka tidak dibayar selama tujuh bulan.

KELAB LIGA M TIADA UNTUNG
Betul sebab kita ada syarat-syarat ketat untuk tajaan, kita bukan kelab luar negara yang boleh menerima apa jua tajaan. Bola sepak Malaysia hanya sekadar untuk minat dan hobi sahaja. Kalau inginkan keuntungan, memang tidak ada.

Orang lain minat untuk diri tetapi kita keluar duit untuk seluruh organisasi. Kadang-kadang ia memberi tekanan tetapi kita sudah minat.

Kita apabila dengan kelab gabungan bukan hanya cerita mengenai bola sahaja, ada juga cerita isu-isu personal. Jadi, bila buka isu personal ini, saya menjadi kasihan. Niat saya cuma ingin membantu kelab dan pemain sahaja.

SEDIA SERAP TEKANAN
Saya sudah biasa dengan tekanan dan boleh jangkakan harapan tinggi kepada siapa sahaja presiden baharu. Dalam bab ini, pertama sekali saya mahu selesaikan isu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) termasuk tunggakan gaji seawal mungkin.

Jadi, ini memerlukan sebuah pasukan yang mantap untuk selesaikan semua masalah.

KEPENTINGAN AHLI POLITIK
Perlu ada walaupun sekadar di belakang kerana mereka mempunyai pemikiran dan visi yang terkedepan. Cuma, mereka harus ikhlas dan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×