NEW YORK : Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) kini bersiap sedia menghadapi krisis tiga serangkai apabila serangan Israel ke atas Lubnan menambah tekanan yang sudah dihadapi di Gaza dan Tebing Barat.
Dengan tiga kawasan operasi kini berubah menjadi ‘barisan hadapan aktif’, Pengarahnya, Philippe Lazzarini menegaskan, agensi yang sudah pun bergelut dengan kekurangan kewangan teruk itu dijangka berdepan lebih banyak tekanan.
“Kami sudah ada Gaza, kami sudah ada Tebing Barat, jadi dua medan operasi ini telah menjadi barisan hadapan aktif.
“Kini Lubnan pula, yang bermakna pada dasarnya tiga konteks operasi akan menjadi darurat kemanusiaan. Situasi ini disifatkan sebagai ‘tragedi berganda’,” katanya.
Sejak berdepan serangan Israel yang semakin meningkat, UNRWA menangguhkan beberapa operasinya di Lubnan dan menukar sekolah-sekolahnya menjadi tempat perlindungan untuk ratusan pelarian dari selatan negara itu.
Jumlah perpindahan meningkat selepas Israel melancarkan serangan terhadap sasaran Hezbollah pada Isnin, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 558 orang dalam hari paling berdarah di negara itu sejak perang saudara 1975-1990.
Sekurang-kurangnya 222 kakitangan UNRWA terbunuh dan dua pertiga kemudahan agensi itu musnah sejak permulaan perang di Gaza.
Lazzarini juga berkata, tidak mustahil ribuan kakitangannya yang berada di Lubnan juga akan turut menjadi mangsa pengeboman Israel bergantung kepada bagaimana perang di negara tersebut berkembang.
“Pembukaan medan perang baharu di Lubnan akan meletakkan lebih banyak tekanan kepada kami. Keperluan akan meningkat dan kami juga memerlukan lebih banyak sokongan daripada penderma,” tambahnya.
Awal tahun ini, agensi tersebut mengalami beberapa siri pemotongan dana selepas Israel menuduh lebih 12 daripada 13,000 kakitangannya di Gaza terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober namun, kebanyakan penderma menyambung semula pembiayaan, kecuali Amerika Syarikat (AS) yang merupakan penyokong kewangan terbesar UNRWA. -AGENSI











