PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa bergerak lebih proaktif dalam mencari pemain berdarah kacukan yang beraksi di luar negara untuk diserap masuk menyertai skuad Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, jika badan induk itu mengambil langkah untuk tunggu dan lihat ia dikhuatiri merugikan badan induk itu sendiri pada masa akan datang.
“Ini kerana dalam bola sepak prestasi pemain tidak selalunya berada di atas. Apabila usia mereka sudah meningkat pada masa sama prestasi mereka juga akan turut terjejas, ini jelas merugikan kita.
“Bukan semua pemain yang boleh beraksi untuk tempoh masa yang lama seperti 10 tahun lamanya. Selain usia, pemain itu juga berisiko untuk mendapat kecederaan jadi tidak perlu menunggu semua ini berlaku baru nak ambil tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan senarai panggilan pemain Harimau Malaya terbaharu ketika kempen Pestabola Merdeka menyaksikan lima pemain kacukan dipanggil dan hanya dua pemain sahaja yang berusia bawah 30 tahun.
Pemain tersebut adalah Matthew Davies berusia 29 tahun dan kapten, Dion Cools, 28 dan tiga lagi La’vere Lawrence Corbin-Ong, 33, Daniel Ting, 32 dan Darren Lok, 34.
Sebelum ini, beberapa nama pemain luar negara dikaitkan dengan Harimau Malaya termasuk kapten kelab Liga Kejuaraan Inggeris Burnley, Josh Brownhill dan pemain pertahanan kelab Eredivisie Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Selain itu, beberapa nama lagi turut disebut seperti Dylan Van Wageningen yang berdarah Belanda-Malaysia; Joshua Rawlins (kacukan Malaysia-Australia); Addis Goode (kacukan Malaysia-Australia); Sam Bone (kacukan Malaysia-England); Jez Bedford (kacukan Malaysia-England); Omar Bjorn Stefansson (kacukan Malaysia-Iceland) dan Kobe Jae Chong (kacukan Malaysia-Jamaica).
Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata, FAM perlu mempunyai ahli panel khas untuk mencari dan memantau perkembangan pemain warisan yang beraksi di luar negara.
“Pencarian bakat untuk anak-anak warisan ini perlu sentiasa dilakukan. Bukan hanya dibuat sekali sahaja. Pencarian pemain warisan perlu dibuat untuk menggantikan kekosongan.
“Sekiranya pemain tersebut menepati kriteria yang dimahukan segera lapor kepada barisan kejurulatihan untuk mengambil tindakan selanjutnya. Jangan tunggu prestasi skuad kebangsaan merundum baharu nak cari,” katanya.-UTUSAN










