Israel mahu 'lumpuhkan' Lubnan seperti Gaza

Israel mahu ‘lumpuhkan’ Lubnan seperti Gaza

LEBUH raya di sepanjang pintu masuk selatan ke Beirut sesak selepas puluhan ribu penduduk melarikan diri akibat serangan udara Israel, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel dilihat semakin tekad melancarkan perang besar-besaran dengan Hezbollah apabila pasukan tenteranya melakukan gelombang serangan udara ‘brutal’ di Lubnan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan yang berlaku pada Isnin adalah hari paling berdarah dalam konflik di negara itu sejak perang saudara 1975-1990.

Sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dan 1,645 yang lain cedera dalam serangan udara terbesar Israel, kononnya menyasarkan kawasan Hezbollah, kelmarin.

Bagaimanapun, pengeboman terbaharu itu bukan sekadar mengorbankan anggota pejuang Hezbollah, bahkan membunuh sekurang-kurangnya 35 kanak-kanak, 58 wanita dan dua pegawai perubatan.

Israel sengaja melancarkan serangan secara melulu di kawasan awam, dan mendakwa kononnya ia adalah kubu kuat musuh dan menuduh pejuang menjadikan penduduk sebagai perisai perang.

Alasan sama turut digunapakai Israel ketika ‘menghalalkan’ serangannya dalam perang di Gaza sejak Oktober tahun lalu, sehingga akhirnya mengakibatkan kadar kematian dahsyat dan kemusnahan teruk terhadap wilayah itu.

Maka, tidak mustahil Lubnan juga akan menerima nasib seperti Gaza, sekiranya Israel terus memperluaskan serangan terhadap negara itu.

Puluhan ribu rakyat Lubnan melarikan diri dari selatan dan lebuh raya utama dari bandar pelabuhan selatan Sidon sesak dengan kereta menuju ke Beirut, selepas serangan paling sengit Israel dalam hampir setahun pertempuran rentas sempadan.

Kerajaan mengarahkan sekolah dan universiti ditutup di kebanyakan kawasan negara itu dan mula menyediakan tempat perlindungan untuk mereka yang dipindahkan dari selatan.

Beberapa serangan terkena kawasan kediaman di bandar selatan dan Lembah Bekaa di timur. 

Tentera Israel juga mendakwa, melaksanakan ‘serangan bersasar’ di Beirut, tanpa memberikan butiran lanjut.

KETIDAKSTABILAN ASIA BARAT

Selepas hampir setahun berperang menentang pejuang Hamas di Gaza, Israel kini mengalihkan fokus ke sempadan utara dan memerangi kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Pertempuran sengit kali ini menimbulkan kebimbangan untuk sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) dan seterunya, Iran turut terheret ke dalam peperangan yang lebih besar.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian percaya Israel sengaja mahu mengheret Asia Barat ke dalam peperangan besar-besaran dengan memprovokasi Iran untuk menyertai konflik dengan Hezbollah di Lubnan.

“Kami tidak ingin menjadi punca ketidakstabilan di Asia Barat kerana kesannya akan menjadi suatu yang tidak dapat dipulihkan.

“Kami mahu hidup dalam kedamaian, tidak mahu peperangan. Israel yang berusaha cetuskan konflik besar-besaran,” kata Pezeshkian kepada pemberita selepas tiba di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden ketika berucap di UNGA pada Selasa berkata, beliau sedang berusaha untuk meredakan ketegangan.

“Saya diberi taklimat mengenai perkembangan terkini di Israel dan Lubnan. 

“Pasukan saya sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka, dan kami sedang berusaha meredakan ketegangan,” katanya.

Pada masa sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melahirkan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin meruncing dan menegaskan tidak mahu Lubnan menjadi seperti Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×