SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan ditangkap selepas mengaku membunuh teman wanitanya 16 tahun lalu dan menyembunyikan mayat mangsa di bawah lapisan simen balkoni.
Menurut Polis Wilayah Gyeongnam, suspek yang kini berusia 50-an didakwa membunuh mangsa pada Oktober 2008 kerana pertengkaran.
Polis berkata, suspek memukul mangsa dengan objek tumpul hingga mati dan meletakkan mayatnya dalam beg besar.
Suspek kemudiannya menyembunyikan mayat itu di balkoni dengan menyusun bata dan meletakkan lapisan simen setebal 10 sentimeter di atasnya.
Mangsa dilaporkan hilang tiga tahun kemudian kerana gagal dihubungi keluarganya.
Semasa siasatan orang hilang pada 2011, suspek memberitahu polis bahawa mereka sudah berpisah dan tersebut tidak diselesaikan kerana kekurangan bukti.
Penyiasat memberitahu, mayat mangsa tidak ditemukan lebih awal kerana ia disembunyikan di ruang balkoni sempit dan bilik tersebut hampir kosong sejak 2016.
Pada tahun itu, suspek ditangkap kerana penyalahgunaan dadah dan tuan rumah mendakwa hartanah tersebut digunakan sebagai ruang penyimpanan.
Mayat ditemukan pada Ogos lalu selepas seorang pekerja yang mengesan kebocoran air menjumpai beg berkenaan.
“Mayat itu belum reput sepenuhnya menjadi tulang, membolehkan kami mengenalpasti identiti mangsa menggunakan cap jari,” kata polis.
Lelaki tersebut ditahan untuk soal siasat dan kemudian mengaku membunuh wanita terbabit.
Menurut polis, pihaknya sudah menyelesaikan prosedur siasatan dan suspek akan dihantar kepada pendakwaan dalam masa terdekat.- AFP










