Israel isytihar darurat hingga 30 September

Israel isytihar darurat hingga 30 September

PENGEBOMAN Israel di perkampungan Khiam, selatan Lubnan susulan pertempuran rentas sempadan antara tentera dan pejuang Hezbollah, pada 23 Ogos lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel semalam mengumumkan darurat di seluruh wilayah jajahannya sehingga 30 September ini berikutan jangkaan serangan yang meningkat dari Hezbollah ketika tentera rejim memperhebat bedilan ke Lubnan.

Agensi berita Anadolu yang memetik akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan, keputusan itu dibuat susulan satu undian khas menteri-menteri Kabinet Israel yang bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di barisan hadapan wilayahnya.

Jelas akhbar berkenaan, undian dilakukan melalui telefon seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

Akhbar harian Haaretz pula melaporkan, di bawah pengisytiharan itu, tentera diberikan kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada pendatang haram Israel, membolehkan mereka melarang perhimpunan, mengehadkan pembelajaran dan mengeluarkan arahan tambahan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

Pengumuman itu dibuat susulan cubaan membunuh tentera Israel terhadap seorang komander tentera tinggi Hezbollah, Ali Karaki.

Radio Tentera Israel sebelum ini memetik sumber tentera yang menyatakan, serangan udara di pinggir selatan Beirut menyasarkan Ali, namun tiada butiran lanjut mengenai nasib komander Hezbollah itu.

Pihak berkuasa kesihatan Lubnan memaklumkan, sekurang-kurangnya 274 orang termasuk 21 kanak-kanak terbunuh dan 1,024 lagi cedera dalam serangan Israel sejak pagi semalam, dengan ribuan orang awam terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.

Komuniti antarabangsa memberi amaran terhadap serangan tersebut, kerana ia meningkatkan kemungkinan konflik Gaza merebak ke peringkat serantau.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam peperangan merentasi sempadan sejak permulaan perang Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 41,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×