LOS ANGELES: Penyanyi, Janet Jackson, 58, tidak pernah memohon maaf selepas mendakwa calon Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, bukan berbangsa kulit hitam.
Jurucakap penyanyi berkenaan memaklumkan, malah kenyataan maaf yang disebarkan individu yang mendakwa dirinya pengurus Jackson, Mo Elmasri adalah palsu dan tidak dibenarkan oleh penyanyi itu.
Pada masa sama, jurucakap berkenaan menegaskan kerjaya Janet diuruskan Randy Jackson, bukan Elmasri seperti didakwa.
Terdahulu, Jackson, menerusi temu bual bersama The Guardian menyebut Harris, 59, bukan berbangsa Afrika Amerika.
Dakwaan itu dibuat selepas penyanyi itu dimaklumkan Harris berkemungkinan bakal menjadi presiden wanita berbangsa kulit hitam pertama negara itu.
“Dia (Harris) bukan kulit hitam. Yang saya tahu, dia berbangsa India.
“Bapanya pula orang putih. Saya jarang ikuti perkembangan semasa kebelakangan ini tetapi itu yang dimaklumkan kepada saya.
“Saya diberitahu bapanya orang kulit putih,” komennya.











