Secara peribadi hati saya belum yakin Najib bersalah - AJK Pas -

Secara peribadi hati saya belum yakin Najib bersalah – AJK Pas

MOHD. ZUHDI MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun Mahkamah Persekutuan sudah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, namun seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas belum yakin sepenuhnya yang bekas Perdana Menteri itu bersalah seperti didakwa.

Pandangan peribadi itu disuarakan Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki terutama dengan keberanian Najib melakukan sumpah mubahalah sedangkan ia bukan sebahagian daripada proses perundangan.

Malah, katanya, Najib juga memainkan peranan besar dalam membuka jalan perdamaian antara Pas dan UMNO yang  bermusuhan begitu lama, sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak melupakan jasa bekas perdana menteri itu khususnya inisiatif transformasi yang diambil terhadap dasar dan amalan rosak oleh Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7, Tun. Dr. Mahathir Mohamad. 

“Saya yakin sekiranya transformasi ini tidak berlaku, negara kurang berupaya untuk menghadapi Wabak Pandemik Covid-19 baru-baru ini dan pulih dengan begitu pantas.

“Justeru, apa jua pun keputusan yang dijatuhkan mahkamah, masyarakat Malaysia terutama umat Islam perlu terus bersatu-padu untuk membangunkan negara dan mempertahankan keharmonian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pastinya memberikan pengajaran kepada semua pemimpin dan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat agar terus bermuhasabah dan tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang.

“Apa pun pandangan kita dalam kes ini, berakhlaklah dan peliharalah kesopanan serta kesusilaan Keluarga Malaysia.

“Takziah kepada Najib dan keluarga, sesungguhnya setiap kesusahan itu pasti akan ada kemudahan di kemudian hari jika kita reda, sabar serta bersyukur di atas segala ketentuan-Nya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya