KOTA KINABALU: Saksi pertama inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir membuat laporan polis atas beberapa ugutan yang diterimanya melalui media sosial.
Menurut sumber, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu telah membuat laporan tersebut, semalam.
Beliau selesai memberi keterangan pada inkues tersebut Khamis lalu.
Dalam keterangannya, pakar patologi itu menyatakan walaupun kecederaan pada bahagian luar dan dalaman tubuh konsisten dengan seseorang jatuh dari tempat tinggi, namun mustahil remaja itu ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba.
Ini kerana, tembok penghadang yang ada di setiap tingkat Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan mempunyai ketinggian hampir tiga per empat tubuh remaja terbabit, menyebabkan sukar untuk senario itu berlaku.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan kecederaan, bedah siasat dan lawatan ke lokasi kejadian, Dr. Jessie menyatakan terdapat kemungkinan Zara Qairina melompat dari tepi (luar) tembok penghadang konkrit (concrete ledge) atau menghayunkan badannya (swing over).
Pakar patologi itu juga menyatakan sebuah mesin basuh domestik tidak boleh beroperasi sekiranya beban muatan 53 kilogram (berat badan remaja terbabit) dimasukkan ke dalamnya.
Dr. Jessie merupakan salah seorang daripada empat pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat mayat remaja berkenaan selepas kuburnya digali semula.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
Prosiding inkues bersambung Isnin ini. – UTUSAN