KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran No.1 negara, Toh Ee Wei menegaskan kecederaan otot yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Korea tidak serius dan yakin sempat pulih sebelum Jelajah Eropah, bulan depan.
Menurutnya, dia hanya mengalami ketegangan pada otot oblique sebelah kanan badan dan kini menjalani latihan ringan bagi menilai tahap kecergasan.
“Tak ada koyak otot, saya hanya berehat dan buat latihan ringan minggu ini, manakala minggu depan kita lihat semula keadaannya. Saya juga bukan mengalami kecederaan belakang tetapi pada otot oblique,” kata Ee Wei kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Pemain berusia 25 tahun itu memaklumkan tidak akan menyertai Terbuka Arctic yang bermula pada 7 Oktober ini bagi memberi masa mencukupi untuk pulih sebelum kembali beraksi di Terbuka Denmark.
Selain Denmark, Ee Wei turut mengesahkan beliau bersama gandingannya, Chen Tang Jie akan beraksi di Terbuka Perancis pada 21 hingga 26 Oktober serta Terbuka Hylo dari 28 Oktober hingga 2 November,
Walaupun mereka sudah melayakkan diri secara automatik ke Jelajah Dunia Akhir hujung tahun ini, Ee Wei menegaskan ia bukan alasan untuk mengambil mudah setiap kejohanan yang bakal diharungi.
Baginya, disiplin tinggi diperlukan kerana setiap perlawanan menjadi medan penting untuk mengekalkan momentum.
“Kami sebenarnya tidak pernah rasa rileks kerana setiap perlawanan kami anggap serius. Kami perlu terus berlatih keras dan menghormati setiap lawan tanpa mengambil mudah,” tegas Ee Wei.- UTUSAN