PETALING JAYA: Pengendali bola sepak wanita negara, Joel Cornelli berpuas hati dengan prestasi anak buahnya ketika melakar kemenangan 3-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan Tier 1, kelmarin.
Gol Malayan Tigress dalam aksi itu dijaringkan oleh Nurfazira Muhamad Sani, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Nur Adrienna Zamzaihiri, sekali gus memberi gambaran positif menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Cornelli mengakui konsistensi mengekalkan stuktur organisasi di setiap bahagian sepanjang 90 minit permainan menjadi faktor utama kemenangan itu.
Katanya, Malayan Tigress sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol terutama pada babak pertama yang menyaksikan beberapa peluang terbaik berjaya dicipta.
“Ia satu perlawanan yang sangat baik. Para pemain faham apa yang kami bincangkan serta mahukan, dan idea permainan kami juga berjaya dilaksanakan mereka.
“Kami mengekalkan organisasi yang baik dan berjaya memanfaatkan peluang. Mungkin kami boleh menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama,” katanya yang dilantik menjadi jurulatih skuad wanita negara pada 14 Mei lalu.
Jurulatih berusia 58 tahun dari Brazil itu, mengakui prestasi ketika menewaskan UAE perlu dikekalkan menjelang pertembungan penting dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Dushanbe, Tajikistan, hujung bulan ini.
“Sejujurnya kami masih dalam fasa awal pembentukan dan memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai potensi sebenar. Kami masih perlu banyak berlatih dan membetulkan beberapa perkara. Masih terlalu awal, tapi sekurang-kurangnya kami sudah ada satu pasukan yang kompetitif,” ujarnya.
Skuad Malayan Tigress akan beraksi sekali lagi berdepan UAE dalam perlawanan tertutup kedua pada Ahad ini, sebagai persiapan akhir menjelang kempen Kelayakan Piala Asia Wanita yang dijadual berlangsung dari 29 Jun hingga 5 Julai 2025.- UTUSAN