KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan penganjuran ASEAN, kerajaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diserang dengan suara-suara negatif yang disifatkan sebagai kelompok bebal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara catatkan kejayaan membanggakan apabila mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus, pelaburan 3.1 peratus walaupun ekonomi dunia terencat.
Bagaimanapun, katanya, ukuran sebenar kemakmuran negara terletak kepada keselesaan kepada kehidupan rakyat dari segi rumah, hospital, sekolah dan kos sara hidup.
“Ini yang cuba ditangani oleh Kerajaan Madani (tetapi) kita berdepan dengan suara-suara kencang yang negatif terus, bahawa seolah-olah kita ini bercuti dan tidak berbuat apa-apa kerja, termasuk polis tidak, menjalankan tugas dengan profesional.
“Jika ada satu dua kes daripada ratus ribu itulah yang dibesarkan seolah-olah gagal semuanya, ini penyakit kelompok bebal ini,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussein.
Perdana Menteri dalam nada berjenaka berkata hubungannya dengan PDRM sudah lama terjalin namun apa dilihatnya adalah secara objektif melalui kecekapan sebagai contoh dalam mengendalikan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – China baru-baru ini.
Bahkan, katanya, penghargaan kepada PDRM antara yang pertama diungkapkannya sebaik sahaja selesai penganjuran sidang kemuncak tersebut selepas melihat kecekapan dan kerja keras anggota polis tanpa mengira masa.
“Saya salute (tabik) Polis Diraja Malaysia, tetapi kadang-kadang rakyat termasuk kelompok bebal ini, dia tidak peduli, dia anggap ini biasa kerana kerja polis. Itu tak betul.
“Pasukan keselamatan China anggap ini di antara persiapan dan kecekapan polis yang paling mengagumkan.
“Tuanku Sultan Brunei sebut kepada saya, berpuluh tahun Baginda hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN ini di antara pengurusan kecekapan termasuk keselamatan yang terbaik sepanjang ASEAN,” katanya.
Tegas Anwar, beliau bukanlah seorang Perdana Menteri yang hanya memberi pujian semata-mata sebaliknya turut melontarkan teguran dalam keadaan tertentu.
“Terapi jangan hanya negatif, kerja orang, khidmat orang, pengorbanan tak tahu mana waltu siang malam, hujan ribut. Bagilah penghargaan dan nyatakan yang benar,” katanya. – UTUSAN