Peluang tamatkan dominasi Thailand

Peluang tamatkan dominasi Thailand

AZLAN Alias melakukan libasan ketika berdepan Thailand pada final acara regu Piala Asia Sepak Takraw 2025 di Stadium Titiwangsa, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih tonik tambahan untuk menjuarai acara berpasukan selepas skuad regu negara muncul juara dalam acara regu di Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025.

Kemenangan itu memberi isyarat jelas skuad negara kini cukup bersedia untuk menamatkan dominasi Thailand dalam acara berpasukan yang menjadi idaman sejak sekian lama.

Jurulatih regu negara, Ahmad Mohd Zin menyifatkan kejayaan anak buahnya, kelmarin sebagai sesuatu yang cukup manis dan membanggakan, apatah lagi menewaskan Thailand yang terkenal dengan permainan psikologi mereka.

“Syukur alhamdulillah. Memang dijangkakan saingan sengit daripada Thailand, tetapi pemain-pemain kita menunjukkan fokus dan kemahiran yang cukup tinggi.

“Bola pertama oleh Syahir Rosdi memberi tekanan besar kepada tekong lawan, Sittipong (Kamchan) dan itulah titik tolak kepada kemenangan kita,” katanya ketika selepas perlawanan.

Menurut Ahmad, prestasi konsisten trio negara, Syahir,, Farhan Adam dan Azlan Alias tidak memerlukan sebarang pertukaran pemain, sekali gus membuktikan kekuatan regu utama negara.

“Kita tak perlu buat pertukaran sebab Syahir tunjuk servis yang cukup baik, Farhan pula cemerlang mengatur hantaran manakala Azlan beraksi pantas di posisi ‘killer’ semuanya memberi mata yang mudah kepada pasukan,” katanya.

Mengulas perancangan ke acara berpasukan, Ahmad berkata kemenangan regu menjadi pencetus semangat kepada seluruh pasukan untuk berjuang merebut kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Malaysia lebih tiga dekad lalu.

“Dengan kejayaan ini, saya percaya semangat pemain akan berkobar-kobar untuk teruskan momentum dalam acara berpasukan.

“Kita sudah 34 tahun tidak merangkul gelaran ini. Di bumi sendiri, di Stadium Titiwangsa ini, saya yakin pemain-pemain saya mampu melakar sejarah,” katanya.

Perlawanan akhir kelmarin turut disaksikan kira-kira 3,000 penyokong setia yang membanjiri stadium, sekali gus memberi sokongan padu kepada skuad negara yang kini selangkah lagi menuju kegemilangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN