JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan parti itu akan mendapat jumlah kerusi yang munasabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, gerak kerja bagi berdepan pilihan raya itu akan dimulakan segera selepas tamat Kongres Nasional PKR kali ini.
“PRN Sabah sudah dekat, Timbalan Presiden telah tekankan keperluan agar gerak kerja jentera dimulai sekarang.
“Saya sudah berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama hanya boleh dilakukan dengan syarat pengiktirafan diberi kepada Pakatan Harapan (PH) untuk sama-sama perjuangkan nasib rakyat Sabah,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, PKR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan gerak kerja PRN Sabah dalam waktu terdekat.
“Selesai sahaja mesyuarat ASEAN, pada 29 Mei ini, satu mesyuarat khas akan diadakan. Saya jamin PKR dan PH akan dapat jumlah kerusi munasabah,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya meminta PKR diberikan sekurang-kurangnya 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah.
“Saya mahu beri pesanan kepada Presiden, rundingkan baik-baik agar kita dapat sekurang-kurangnya 13 kerusi minimum.
“Kemudian kita akan pastikan jentera PKR daripada seluruh negara akan turun dan berkampung di Sabah bagi membantu kempen pilihan raya,” katanya. – UTUSAN