PETALING JAYA: Tujuh kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 5 hingga 7 Jun ini susulan pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Pelaksanaan kerja-kerja itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual sementara di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor bermula pukul 9 pagi, 5 Jun depan.
Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan tersebut dijangka siap pada pukul 7 malam hari sama.
Bagaimanapun, pengguna dijangka hanya menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun setelah kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset siap pada masa sama sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pada pukul 3 petang, 6 Jun diikuti dengan 90 peratus pada jam 3 pagi, 7 Jun.
“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya malam semalam.
Air Selangor berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Justeru, Air Selangor menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” katanya.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. –UTUSAN










