KONSEP baharu berkahwin satu dan masih ada tiga kekosongan untuk memenuhi kuota empat isteri adalah tidak betul.
Poligami tidak boleh dianggap sebagai satu hak tapi kelonggaran dalam Islam dan satu ubat kepada perkahwinan yang ada masalah yang memerlukan perubatan.
Islam membataskan segalanya dengan perkahwinan. Tidak semua perkahwinan sesuai untuk berpoligami dan hanya perkahwinan tertentu atau perlu sahaja.
Menurut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, poligami adalah ubat kepada perkahwinan yang mempunyai masalah dan perlu diubati.
“Konsep poligami perlu difahami. Poligami bukan hak suami tetapi kelonggaran jika perkahwinan mempunyai masalah. Terdapat perbezaan antara hak dan kelonggaran. Suami yang memerlukan zuriat, isteri lama sakit maka suami perlu kepada kehidupan seksual dan sebagainya. Bimbang kalau dia berbuat dosa di luar. Ini yang disebut sebagai kelonggaran untuk berpoligami.
“Kalau tanya lelaki pastilah semua mahu mahu kahwin lebih. Itu kemahuan. Tapi, lepas dia mahu, kita kena tanya adakah mampu dan perlu? Sebenarnya tiada keperluan pun. Betul, ada duit banyak dan mampu. Itu adalah keinginan tapi tiada keperluan. Jadi yang tiga syarat ini, mahu, mampu dan perlu perlu menjadi ukuran serta harus dinilai serentak. Bukan sewenang-wenangnya boleh berpoligami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MASALAH RUMAH TANGGA BELUM SELESAI, CARI LAIN
Mashitah yang juga penceramah bebas dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata, kesilapan poligami hari ini apabila masalah dalam rumah tangga masih belum selesai tetapi suami sudah mencari isteri lagi satu.
“Sedangkan yang sedia ada belum selesai lagi. Isteri sudah lama tidak bercakap, hilang hormat, tidak tahu bagaimana mahu berbincang tetapi suami pula ambil keputusan cari isteri lain, jadi masalah tidak selesai.
“Sepatutnya selesaikan masalah bukannya mencari satu lagi masalah. Ini salah. Suami seperti ini hanya lari dan melepaskan tanggungjawab. Lelaki diciptakan untuk memimpin. Allah angkat satu darjat mereka. Dalam hadis Allah sebut, isteri yang berkahwin, mereka seperti tawanan (keluar cari lelaki lain atau keluar tanpa izin tidak dibenarkan) jadi suami perlu menjaga tawanan ini sebaik-baiknya.
“Jika isteri bermasalah maka suami perlu bertanggungjawab dan memanggil isteri untuk beri nasihat, ditangani dengan makruf, dijaga hati dia dan sebagainya. Poligami menyelesaikan masalah tetapi jika dalam poligami ada penzaliman itu sudah tidak betul. Tidak boleh menzalimi mana-mana pihak, baik isteri pertama mahupun kedua. Dua-dua itu adalah wanita yang dibela dalam Islam,” katanya.
Tambah beliau, berpoligami ini adalah kesanggupan untuk bersikap adil dan bukan kerana duit sahaja tetapi perasaan juga perlu diambil kira.
“Isteri bila dapat tahu suami berkahwin lain pastilah tercabar dan tergugat. Kalau rasa tidak boleh terima dimadukan maka dia boleh minta cerai, itu hak dia. Bahkan nabi juga tidak membenar dan izinkan puterinya untuk dimadukan dengan orang yang tidak sesuai,” katanya.
MAHKAMAH PIHAK KETIGA
Mashitah yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) berkata, dalam Islam, suami tidak perlu minta izin isteri untuk berkahwin lain sebaliknya perlu mengikut undang-undang dengan mendapat keizinan mahkamah.
“Mahkamah akan membuat ketetapan dan memperbetulkan semula masalah rumah tangga serta menasihati pasangan suami isteri. Kalau kata mahu berkahwin lain namun tidak mampu dari segi kewangan tapi mampu dari segi seksual maka perlu berpuasa.
“Sebab itu perlu ada pihak ketiga iaitu mahkamah untuk mengadili sama ada suami sesuai menambah satu lagi atau tidak. Isteri perlu belajar tentang hak perundangan, harta sepencarian, nafkah anak dan sebagainya. Jangan melatah atau beremosi yang akhirnya hak kita terlepas.
“Dalam Islam sebelum pergi kepada hakim, kita ada hakam iaitu adik-beradik, semasa berkahwin ada saksi dan wali, tujuan ini semua bukan untuk campur tangan tetapi jadi orang yang mendamaikan pertikaian. Jika damai tidak dapat dicari maka cerai itu dibolehkan walaupun dibenci Allah SWT tetapi perkara itu ada kala lebih baik. Mungkin apabila bercerai boleh berkawan dan Allah gantikan dengan hubungan yang lebih baik,” katanya.
PERSEPSI MASYARAKAT
Mengulas mengenai isteri gemar berkongsi di media sosial, kata Mashitah, ia tidak manis dilakukan kerana mengaibkan, lebih-lebih lagi persepsi masyarakat yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Sebagai orang luar janganlah menambah dan menyimbah minyak ke dalam api tetapi jadilah air yang boleh memberi nasihat yang baik,” katanya yang turut menegaskan, masyarakat negara kita belum boleh menerima poligami ini kerana tidak banyak contoh yang baik ditunjukkan. Banyak contoh poligami yang tidak elok seperti tidak adil dan sebagainya.
LELAKI UNSTOPPABLE
Mengikut psikologi terdapat lelaki jenis unstoppable iaitu tidak boleh dihalang keinginannya atau kehendaknya jika ingin berkahwin lain.
Pakar Gender Intelligence, Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Utih berkata, hormon testosteron lelaki seperti ini tinggi.
Bukan kerana isteri tidak cantik atau tidak lagi menarik tetapi kemahuan dan keinginan dia untuk tambah isteri.
Bagaimanapun ujar Pak Utih, lelaki yang ingin berkahwin lain sebaik-baiknya tidak bercinta terlebih dahulu dengan teman wanita dan perlu jujur dengan isteri.
“Kesilapan terbesar suami untuk berkahwin seorang lagi adalah terlebih dahulu mencari teman wanita sebelum mendapat keizinan atau pengetahuan isterinya,” katanya.
Perunding kekeluargaan ini berkata, jika ditakdirkan dapat tahu suami berkahwin lain, tindakan yang perlu isteri lakukan adalah tidak perlu berasa bersalah sebaliknya bertenang kerana sudah menjadi isteri yang sempurna.
Kata Pak Utih, apabila berkahwin lain pastilah ada kesan dan impak dalam kehidupan rumah tangga terutama bagi suami yang merahsiakan perkahwinan.
“Si suami akan sentiasa berdosa sebab asyik menipu tapi Allah SWT telah cipta wanita dengan naluri, rasa dan ilham. Isteri boleh dapat tahu kalau suami menipu. Maka apabila suami menipu isteri akan sering rasa tidak tenteram, solat tidak khusyuk kerana kesan pada dosa pahala yang dibuat.
“Selain itu, perkara ini boleh merosakkan imej Islam terhadap non-Muslim. Orang bukan Islam apabila mereka melihat suami begini merahsiakan perkahwinan bermakna orang itu tidak jujur dan mereka tidak akan hormat tindakan itu. Perbuatan merahsiakan perkahwinan hanya merendahkan diri seseorang itu dalam kalangan non-Muslim,” katanya.
Jodoh pun tak salah alamat …
KALAU minta izin memang tak dapatlah. Sebab itu, kena sorok dulu, sudah kahwin baru beritahu. Ini selalu dilakukan oleh orang lelaki apabila mahu berpoligami.
Bukan tiada keberanian untuk meminta izin tetapi tahu jawapan yang akan keluar daripada mulut isteri selain bersedia untuk menghadapi tindakan-tindakan isteri selepas itu dimarahi atau dimaki sepanjang masa termasuk ‘diboikot’.
“Selalu kita dengar rezeki tak salah alamat tetapi bab-bab jodoh perempuan tak nak terima pula, jodoh salah alamat tak? kata seorang kawan lelaki kepada saya sambil tertawa apabila kami berbincang tentang isu kahwin sembunyi ini.
Katanya, orang perempuan sangat emosional bab poligami walaupun dalam agama dibenarkan jika suaminya mampu dan ada alasan kuat untuk berbuat demikian. Dua-dua cara pun akan menerima padah dimarahi sama ada minta izin atau sorok-sorok. Jadi apa jalan yang mereka ada? Terpaksalah sembunyi dulu, sudah kahwin baru beritahu.
“Orang lelaki ini bukan semua hendak berpoligami. Tetapi bila ada isu-isu kahwin dua, tular dalam media sosial, kita yang tak ada apa-apa ini pula jadi mangsa.
“Dikata dan dituduh macam-macam. Macam kita pula yang kahwin dua itu. Perempuan sangat emosional. Macam itukah lelaki hendak minta izin? Memang taklah,” katanya.
Apa pun pada saya, seorang lelaki kena berani untuk menanggung semua risiko untuk berkahwin seorang lagi. Iyalah, kalau mahu membina rumah di tepi pantai, jangan takut pula dipukul ombak yang ganas.
Bila sedang bercinta dan mahu berkahwin lagi seorang, lautan api pun sanggup direnangi tetapi dengar suara isteri tinggi sikit, sudah jadi tak keruan.
Mungkin ada sebab isteri menghalang poligami. Antara sebab utamanya, tahu kemampuan suami. Yang satu pun tidak terjaga. Inikan bila tambah lagi satu. Isteri dan anak pasti diabaikan. Semuanya hanya menambah serabut.
Pada masa sama, banyak juga keadaan apabila sudah berkahwin lagi, perkahwinan itu disorokkan daripada isteri pertama sampai bila-bila. Tunggu isteri pertama tahu sendiri.
Ini membuatkan, isteri kedua seakan ‘halimunan’ ini menderita kerana tidak mendapat haknya sebagai seorang isteri yang sah. Tidak dapat hak dari segi giliran di rumah siapa, percutian apa pun termasuk hari raya semuanya bersama isteri pertama, kalau sakit pun uruskan sendiri kerana suami perlu balik ke rumah isteri pertama setiap hari dan macam-macam lagi.
Dalam pada itu, apabila suami sakit, terlantar di rumah atau di hospital, isteri kedua tidak dapat menjaga atau melihatnya. Apatah lagi suami meninggal dunia, tiba-tiba muncul isteri kedua. Tentu ini amat menghancurkan hati isteri pertama yang akan merasakan selama ini dia ditipu.
Ini yang dikatakan apabila mahu bernikah lagi, semua mahu ikut hukum. Bukan dosa. Bukan satu jenayah pun. Tetapi tidak fikirkan dosa dan hukum apabila menganiaya dan tidak berlaku adil pada isteri-isteri sendiri.
Bermadu itu pahit kepada kebanyakan wanita tetapi yang menambah lagi kepahitan dan kesakitan itu adalah sikap tidak bertanggungjawab seorang suami dalam menangani poligami.
Kalau berani dan bertanggungjawab, mungkin hati yang keras dan sakit dapat dilembutkan dan dirawat. Iyalah segala isi bumi ini adalah milik Allah SWT. Ia hanya dipinjamkan. Isu besarnya di sini tanggungjawab dan berlaku adil. Jika semua ini boleh dilaksanakan, tentu Isteri pun akan berdamai dengan takdir.
Penulis ialah Pengarang Berita Kanan, Utusan Malaysia.










