PETALING JAYA: Seramai 21 atlet bina badan negara bakal menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2026 di Vientiane, Laos dari 3 hingga 9 Disember ini.
Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Anuar Mamat berkata, kontinjen negara akan diketuai dua atlet berpengalaman, Nazri Pulong dan Abdul Aziz Ahmad dalam usaha mengulangi kejayaan yang dilakar pada edisi tahun lalu di Batam, Indonesia.
“Selain kedua-dua atlet berkenaan, barisan negara turut diwakili Muhammad Aqil Farhan Aziz, Joseph Ladi, Ahmad Faiz Ariffin, Khairul Azri Abdullah, Meilaura Dora Jimmy dan Siti Hadjar Mansor Awang Hitam.
“Kejohanan edisi ke-17 anjuran Persekutuan Bina Badan Laos di bawah naungan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia (WBPF) itu dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember di Vientiane,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut beliau, secara keseluruhan, Malaysia akan menghantar kontinjen seramai 26 anggota termasuk dua pegawai pasukan, tiga pengadil dan 21 atlet.
“Pasukan negara akan diketuai Pengurus Pasukan, Yeap Tzu Tsing, manakala Datuk Mohd Syarul Mike bertindak sebagai jurulatih,” ujarnya.
Anuar memberitahu, pihaknya menaruh keyakinan terhadap kemampuan barisan atlet negara untuk memberikan saingan terbaik dan mengulangi kejayaan yang dicapai pada edisi tahun lalu.
Tambahnya, penyertaan kali ini juga membuktikan komitmen berterusan MBBF dalam memperkukuh pembangunan sukan bina badan dan sukan fizik negara, selain meningkatkan daya saing atlet Malaysia di peringkat antarabangsa. – UTUSAN











