SEKTOR perlombongan dan pengkuarian dianggar berkembang sebanyak 2.6 peratus pada 2026 dengan jangkaan harga purata minyak mentah Brent berada pada sekitar AS$85 (RM347.39).
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, sektor itu pada separuh kedua tahun ini dijangka berkembang sederhana sebanyak 1.9 peratus susulan kesan asas pengeluaran gas asli yang semakin mereda.
“Subsektor gas asli disokong oleh penstabilan projek laluan pantas (FaS) gas asli cecair (LNG) Malaysia serta permintaan yang lebih kukuh dari pasaran penjanaan elektrik domestik dan eksport LNG.
“Usaha daripada negara pengimport untuk mendapatkan bekalan alternatif rentetan gangguan akibat konflik Asia Barat juga dijangka menjadi pemangkin kepada tambahan permintaan LNG.
“Pengoptimuman berterusan kemudahan sedia ada dan kemajuan dalam pembangunan huluan turut menyokong pengeluaran,” katanya.
Selain itu, subsektor minyak mentah dan kondensat dijangka mencatat peningkatan kecil dalam pengeluaran, sebahagiannya dari Lapangan Adong Kechil Barat berhampiran Marudi, Sarawak serta jangkaan penyiapan lima Projek Hidrokarbon Pertama di seluruh negara.
“Subsektor perlombongan lain dan pengkuarian serta perkhidmatan sokongan juga dijangka berkembang dipacu oleh peningkatan aktiviti perkhidmatan sokongan,” katanya.
Mengulas mengenai pretasi pada separuh pertama, jelasnya, sektor berkenaan berkembang sebanyak 3.2 peratus, didorong pengeluaran gas asli yang lebih kukuh.
“Subsektor gas asli mencatat pertumbuhan 7.6 peratus dipacu oleh pengeluaran yang lebih tinggi selepas aktiviti penyelenggaraan berjadual yang dijalankan di lokasi fasiliti bersepadu di Bintulu.
“Subsektor perlombongan lain dan pengkuarian serta perkhidmatan sokongan juga turut berkembang sebanyak 5.7 peratus.
“Walau bagaimanapun, subsektor minyak mentah dan kondensat menyusut sebanyak 3.9 peratus, sebahagiannya disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan di Kemudahan Pengeluaran, Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FPSO) Kikeh, Sabah,” katanya. – UTUSAN











