JOHOR BAHRU: Permintaan terhadap bekalan jubin di pasaran tempatan mencatatkan peningkatan melebihi 30 peratus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, berbanding tempoh sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Feruni Ceramiche, Datuk Ngei Chee Chau berkata, peningkatan itu didorong perubahan corak kehidupan masyarakat yang kini lebih mengutamakan persekitaran dan keselesaan kediaman masing-masing.
Katanya, peningkatan permintaan itu berterusan secara konsisten selepas negara memasuki fasa pasca pandemik bermula tahun 2021 sehingga kini.
“Selepas PKP, kita dapati pemilik kediaman mula melabur lebih banyak wang untuk mencantikkan ruang di kediaman mereka. Jika dahulu bilik air atau ruang tamu sekadar dipasang jubin asas untuk kemudahan pembersihan, kini keadaan amat berbeza.
“Masyarakat mula melihat ruang seperti bilik air sebagai ruang peribadi atau ‘me time’ untuk berehat dan mereka tidak ragu-ragu membelanjakan peruntukan lebih besar demi mendapatkan jubin berkualiti serta reka bentuk yang unik,” katanya kepada pada majlis pembukaan kedai jubin Feruni, di sini.
Pada majlis itu juga, Feruni Ceramiche dan Villeroy & Boch memperkukuhkan kerjasama mereka menerusi pelancaran Casa Feruni, sebuah destinasi reka bentuk baharu yang mengetengahkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap ruang dan pengalaman reka bentuk.
Kerjasama itu turut dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Feruni Ceramiche dan TRI I Concept Sdn. Bhd., wakil Villeroy & Boch di Malaysia, yang berlangsung sempena pelancaran Casa Feruni di Feruni Retail Store di sini.
Tambah Chee Chau, peningkatan permintaan melebihi 30 peratus itu turut melibatkan jubin bersaiz besar yang mampu memberi impak estetika lebih mewah kepada sesebuah kediaman.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa konflik yang berpanjangan di Asia Barat ketika ini tidak akan menjejaskan rantaian bekalan produk berkenaan khususnya di pasaran tempatan.
“Kita mengamalkan pengurusan rantaian bekalan dan perancangan jangka panjang bagi memastikan ketersediaan stok tanpa perlu bergantung kepada penghantaran secara ad-hoc.
“Produk jubin kita juga dikeluarkan di tiga buah negara iaitu Malaysia, Itali dan China. Dengan kepelbagaian sumber pembuatan ini, kita dapat menampung permintaan pasaran tempatan tanpa sebarang masalah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu pihaknya turut mengambil langkah proaktif dengan beralih daripada penggunaan relau gas tradisional kepada tenaga boleh baharu di kilang pengeluaran bagi memastikan kelangsungan operasi dan pengeluaran secara berterusan.-UTUSAN











