KUALA LUMPUR: Pihak produksi perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pelakon dan kru di set penggambaran, khususnya berkaitan penyediaan makanan yang bersih, selamat dan mencukupi.
Perkara itu ditegaskan oleh pelakon, Farah Ahmad, yang berpandangan pihak produksi perlu memastikan pengendalian makanan di lokasi penggambaran memenuhi aspek kebersihan dan keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan.
Menurutnya, tanggungjawab berkenaan bukan sekadar terletak pada penyedia makanan, malah memerlukan pengurusan yang sistematik bagi memastikan hidangan yang disediakan sesuai untuk dimakan.
“Tanggungjawab memilih katering atau menentukan makanan yang disediakan terletak pada pihak produksi. Apa-apa pun, sistem kerja mesti ada.
“Makanan perlu disusun dengan baik dan ditutup, manakala kebersihannya perlu diperiksa, termasuk memastikan tiada lalat. Perkara ini berbahaya jika tidak diberikan perhatian kerana ia melibatkan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut, Farah berpandangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) boleh menyediakan saluran aduan khusus bagi membolehkan penggiat seni melaporkan sebarang masalah yang berlaku ketika penggambaran.
Katanya, langkah itu penting kerana terdapat individu yang mungkin memilih untuk berdiam diri akibat bimbang kehilangan peluang pekerjaan sekiranya tampil menegur pihak produksi.
“Pada saya, apa-apa sahaja permasalahan yang berlaku ketika penggambaran atau perkara yang tidak sepatutnya berlaku perlu mempunyai saluran aduan. Saya faham mengapa ada pihak yang tidak mahu bersuara kerana apabila seseorang menegur, dia mungkin dilabel dan selepas itu tidak mendapat tawaran kerja. Itu antara sisi gelap industri seni yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Justeru, dia menyarankan agar aduan dapat disalurkan kepada pihak bertanggungjawab menerusi kaedah yang bersesuaian, termasuk e-mel, supaya masalah berkenaan boleh diteliti tanpa meletakkan pengadu dalam keadaan tertekan.
Dalam masa sama, pemantauan di set penggambaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan kebajikan pelakon dan kru sentiasa terpelihara.
“Perkara seperti ini perlu dipantau. Jika boleh, setiap set penggambaran perlu mempunyai mekanisme pemantauan yang sesuai kerana ada banyak isu yang sepatutnya diberikan perhatian.
“Pemantauan itu tidak perlu dilakukan secara keterlaluan, tetapi biarlah secara berhemah supaya masalah yang berlaku dapat dikenal pasti dan ditangani,” katanya.
Farah turut mengingatkan pihak produksi supaya tidak mengambil tindakan atau menyalahkan individu yang tampil membuat aduan, sebaliknya melihat teguran tersebut sebagai usaha memperbaiki mutu pengurusan dan kebajikan tenaga kerja.
Katanya, masalah penyediaan makanan bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pelakon dan kru, malah berpotensi mengganggu kelancaran jadual penggambaran sekiranya berlaku kejadian keracunan makanan.
“Jika pihak produksi menerima aduan, janganlah pula mengecam individu yang menyuarakan masalah. Pada saya, teguran dibuat kerana kita mahu keadaan menjadi lebih baik untuk semua pihak. Jika seseorang mengalami sakit perut atau keracunan makanan, pihak produksi juga akan menanggung kesannya kerana penggambaran mungkin terganggu.
“Kita faham keadaan ekonomi sekarang dan pihak produksi juga mempunyai kekangan masing-masing. Namun, pada saya, makanan tidak sepatutnya menjadi isu sehingga kebajikan pekerja terabai. Makanan ialah keperluan asas. Jika perkara asas seperti ini pun terlalu berkira, akhirnya semua pihak akan menanggung kesannya,” katanya.











