SANAA: Kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa memutuskan untuk melarang kemasukan dan pengedaran semua barangan serta produk dari Iran.
Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pengawalseliaan dan Pembiayaan Import meluluskan langkah itu dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Gabenor Bank Pusat Yemen, Ahmad Ghaleb.
Jawatankuasa itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan kepentingan nasional yang lebih tinggi.
Jawatankuasa itu mengarahkan pihak berkuasa berkaitan mengambil langlkah diperlukan bagi melaksanakan larangan tersebut, mengikut bidang kuasa masing-masing serta berdasarkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Kenyataan itu tidak menyatakan bila larangan tersebut akan berkuat kuasa atau memberikan butiran lanjut mengenai produk yang terlibat.
Keputusan itu dibuat ketika pertempuran antara kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran semakin memuncak.
Kerajaan Yemen menuduh Iran menyalurkan sokongan ketenteraan dan kewangan kepada Houthi, namun Teheran menafikan dakwaan berkenaan.
Houthi yang menawan Sanaa dan sebahagian besar wilayah Yemen pada 2014 mendapat sokongan Iran, manakala pasukan kerajaan disokong pakatan diketuai Arab Saudi.
Pertempuran kembali meningkat sejak Julai selepas tempoh reda relatif panjang susulan gencatan senjata hasil rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April 2022.- AGENSI










