SANAA: Pasukan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi hari ini mendakwa melancarkan serangan terhadap pejuang Houthi yang bersekutu dengan Iran di bandar strategik Mocha, yang terletak di Laut Merah.
Selepas melancarkan serangan selama seminggu, Houthi pada Jumaat menawan kawasan pantai Laut Merah, sekali gus mengukuhkan penguasaan mereka ke atas Selat Bab al-Mandab, laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi ketika Selat Hormuz masih ditutup susulan perang Amerika Syarikat (AS)-Iran.
“Angkatan bersenjata memusnahkan kenderaan dan senjata serta membunuh anggota militia pengganas Houthi yang disokong rejim Iran,” menurut agensi berita kerajaan, Saba, berhubung serangan berhampiran pelabuhan Mocha.
Jurucakap pasukan kerajaan Yemen, Majed Abdullah al-Nazili, berkata pihaknya turut menyerang ‘kenderaan dan anggota’ Houthi di jalan Mocha-Dhubab, kira-kira 11 kilometer dari bandar itu, menurut Saba.
Nazili pada Jumaat berkata pasukannya mula membedil beberapa kawasan di Mocha dan menggesa penduduk supaya tidak menggunakan jalan Taiz-Mocha serta Mocha-Dhubab.
Houthi merampas Mocha pada Khamis, menyebabkan ramai penduduk melarikan diri ke Aden, lokasi kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa.
Pada Jumaat, media Houthi mendakwa dua serangan udara Arab Saudi mengenai lapangan terbang Mocha, manakala seorang pegawai tempatan berkata pelabuhan bandar itu terkena enam peluru berpandu yang tidak diketahui asalnya.
Serangan Houthi yang bermula minggu lalu itu mengorbankan lebih 500 orang, menurut sumber daripada kedua-dua pihak.
Pertempuran itu turut menyebabkan kira-kira 46,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Konflik berkenaan adalah sebahagian daripada peningkatan semula permusuhan dalam perang saudara Yemen yang bermula selepas kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa pada 2014.- AFP










