PETALING JAYA: Penantian Malaysia untuk kembali menaiki podium acara 10 meter (m) platform seirama lelaki di Sukan Asia akhirnya berakhir apabila gandingan Elvis Priestly Clement-Enrique Maccartney Harold menghadiahkan pingat perak di Aichi-Nagoya, hari ini.
Aksi cemerlang dipamerkan pasangan negara di Pusat Akuatik Tokyo menyaksikan mereka mengumpul 377.52 mata keseluruhan untuk menamatkan saingan di tempat kedua.
Kejayaan itu turut menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia dalam acara berkenaan selepas kali terakhir meraih pingat perak menerusi gandingan Bryan Nickson Lomas dan Ooi Tze Liang pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Elvis dan Enrique bagaimanapun tidak mampu menggugat dominasi China apabila pasangan Yang Hao-Lian Jun Jie tampil terlalu unggul untuk meraih pingat emas dengan kutipan 465.54 mata.
Pasangan negara bagaimanapun berjaya mengetepikan cabaran sengit Korea Selatan dalam perebutan pingat perak apabila hanya dipisahkan 1.62 mata.
Wakil Korea Selatan, Shin Jung Whi-Kim Young Taek, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengumpul 375.90 mata.-UTUSAN











