AMPANG: Selepas hampir sebulan membentuk pasukan, Selangor kini bersedia menjadikan pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam aksi Piala Agong 2026 sebagai langkah pertama memburu dua trofi berprestij musim ini.
Juara Piala Agong 2025 itu akan berdepan juara Piala Emas Raja-Raja musim lalu, Kuala Lumpur, pada aksi pembuka tirai Piala Emas Raja-Raja 2026 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, 13 September ini.
Pengendali Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yunus berkata, persiapan rapi termasuk mengharungi 10 perlawanan persahabatan sepanjang tempoh sebulan memberi ruang kepadanya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.
“Syukur Alhamdulillah, kita telah lebih kurang satu bulan bersedia dan berlatih bersama. Saya amat bersemangat dengan pasukan sepanjang persediaan kita dari awal Ogos hingga sekarang.
“Daripada situ (aksi persahabatan) kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan, selain membantu saya dan staf kejurulatihan mengenal pasti kesebelasan utama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Selangor Piala Emas Raja-Raja 2026 di sini hari ini.
Menurut Fairuz, Selangor tidak sekadar mahu hadir sebagai pelengkap saingan, sebaliknya memasang impian besar untuk menamatkan kempen dengan kejayaan bergandan.
“Suka saya cakap di sini, kita datang, kita berlatih dan kita bersemangat sebagai satu pasukan kerana sasaran utama kita ialah merangkul kejuaraan, dua piala prestij iaitu Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja.
“Segala usaha, motivasi dan aura positif dalam pasukan kita terapkan. Kita telah mengatur strategi di dalam padang dan mengharapkan pemain dapat merealisasikannya sepanjang pertandingan,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz mengakui Selangor turut melakukan rombakan terhadap skuad dengan menggabungkan pemain berpengalaman bersama beberapa muka baharu.
“Kita ada dua kategori pemain. Ada pemain lama yang kita serapkan dan pada masa sama kita bawa bakat-bakat baharu untuk menguatkan pasukan.
“Kebanyakannya daripada kelab-kelab di Liga Super Selangor dan pemain-pemain IPT (institut pengajian tinggi) tempatan,” katanya. – UTUSAN










