BAITULMUQADDIS: Dua menteri Israel mencadangkan pemindahan besar-besaran penduduk Palestin dari Gaza, menimbulkan semula idea yang sering disuarakan ahli politik berhaluan kanan sejak tiga tahun lalu ketika mereka cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya.
Gesaan dua sekutu politik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, itu kembali mencetuskan kebimbangan rakyat Palestin berhubung rancangan Israel mengusir mereka secara paksa dari Gaza, meskipun usaha diplomatik yang diketuai Amerika Syarikat (AS) sedang dijalankan bagi menamatkan konflik di wilayah berkenaan.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, pada sidang media kelmarin mengemukakan pelan tujuh tahun untuk memindahkan penduduk Gaza melalui apa yang disifatkannya sebagai ‘penghijrahan secara sukarela’.
Beliau berkata akan mengusulkan penubuhan kementerian yang bertanggungjawab terhadap penghijrahan dalam kerajaan akan datang.
“Daripada berangan tentang keamanan sekarang, kita memerlukan tindakan penghijrahan sekarang. Daripada menggali terowong, sudah tiba masanya untuk mengemas beg,” katanya, merujuk kepada terowong yang dibina Hamas di bawah Gaza sebelum perang.
Parti Kuasa Yahudi pimpinan Ben-Gvir dalam kenyataan pada Khamis berkata Turkiye, Ethiopia dan Republik Demokratik Congo sedang dipertimbangkan sebagai destinasi berpotensi.
Pengarah pejabat media kerajaan Hamas, Ismail Al-Thawabta, berkata rakyat Palestin berakar umbi di tanah air mereka dan tidak akan gentar dengan ancaman sedemikian.
Kenyataan Ben-Gvir itu susulan dakwaan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, daripada parti Likud pimpinan Netanyahu, pada Rabu bahawa tiada penyelesaian sebenar untuk Gaza pada akhirnya tanpa penghijrahan ini.
“Kami bersedia sepenuhnya untuk memindahkan mereka sekiranya ia menjadi kenyataan melalui laut, udara atau apa jua cara yang mungkin. Mesir tidak bersedia, jadi ia tidak akan dilakukan melalui Mesir,” katanya dalam persidangan dalam talian anjuran akhbar Israel, Yedioth Ahronoth.
Pejabat Netanyahu belum memberikan sebarang komen.
Tinjauan menunjukkan Netanyahu, yang mengetuai gabungan kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel, berdepan risiko kehilangan kuasa bulan depan, susulan kredibilitinya dalam soal keselamatan yang masih terjejas akibat serangan 2023.
Bagaimanapun, penganalisis berkata peluang Netanyahu untuk kekal berkuasa tidak boleh diketepikan.
Kementerian Pertahanan Israel pada 2025 menubuhkan sebuah pejabat yang bertanggungjawab mengawasi ‘penghijrahan secara sukarela’ dari Gaza, susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump, yang mencadangkan penduduk Gaza boleh dipindahkan secara kekal.
Trump kemudian menarik balik cadangan itu susulan tentangan hebat negara-negara Arab serta penolakan meluas masyarakat antarabangsa.
Israel dilaporkan turut mendapatkan pandangan beberapa negara Afrika sebagai lokasi berpotensi untuk penempatan semula penduduk Gaza.- AGENSI










