KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dimeterai sebagai naratif nasional bagi memastikan pelaksanaannya dilihat sebagai komitmen serta dasar negara dan bukan isu sektoral yang hanya membabitkan Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MA63 adalah berkaitan pembangunan dan kestabilan negara, merangkumi perkara yang dijanjikan ketika kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 serta pembentukan Malaysia pada 1963.
Beliau berkata, pendekatan terbabit penting bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami pelaksanaan MA63 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keutuhan negara tanpa melihatnya daripada sudut kepentingan kaum atau parti tertentu.
“Saya telah mencadangkan supaya perbincangan MA63 ini dijadikan sebagai naratif nasional. Ini sangat penting kerana jika tidak, ia hanya akan menjadi isu sektoral dan setiap tahun kita perlu mengadakan perbincangan khas.
“MA63 ialah komitmen nasional (national commitment) tentang pembangunan dan kestabilan, merangkumi apa yang telah kita janjikan semasa Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan Pembentukan Malaysia 1963. Perkara ini harus dimeterai sebagai naratif nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penambahan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak juga tidak seharusnya dilihat sebagai keistimewaan khas untuk kedua-dua negeri berkenaan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai dasar nasional yang diterima baik oleh masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita perlu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak hanya membicarakan soal kaum atau parti sendiri, tetapi membincangkannya sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara.
“Naratif ini perlu diterima baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak iaitu dasar nasional, komitmen nasional dan naratif nasional (national policy, national commitment, and national narrative),” katanya.
Sementara itu, semasa sidang akhbar yang sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya memohon pertimbangan sewajarnya berhubung penyelesaian pembayaran 40 peratus hasil kepada negeri itu.
“Kerajaan negeri Sabah ada memohon pertimbangan, terutamanya berhubung penyelesaian pembayaran 40 peratus kepada Sabah juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dan disegerakan,” katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg menyifatkan pendekatan menjadikan MA63 sebagai isu nasional sebagai langkah praktikal dalam memastikan kandungan Perlembagaan Persekutuan diselaraskan, selain menjaga keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara bersatu.
“Satu perkara yang saya sokong melalui pendekatan yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri ialah perkara MA63 ini merupakan isu nasional.
“Kita mahu menyelaraskan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjaga keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu (United Malaysia) yang akan meneruskan usaha membangunkan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Abang Johari berkata, persetujuan untuk menentukan formula berhubung perkara itu akan mewujudkan situasi menang-menang antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Jika kedudukan negara kita baik, sudah tentu keputusannya juga baik. Jika keadaan kurang baik, kita menerima hakikat tersebut supaya kestabilan kewangan negara kekal terjamin,” katanya.
Susulan itu, berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh Hajiji dan Abang Johari, Anwar merumuskan pihaknya akan memastikan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan untuk perkara terbabit.
“Untuk itu (Sabah) saya telah bersetuju untuk menambah peruntukan segera mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim sementara rundingan diteruskan, dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti dalam perjanjian awal.
“Kita akan menunggu sidang Parlimen pada bulan Oktober untuk membentangkan kertas kerja dan menyerahkan jumlah RM1.5 bilion itu pada tahun ini juga, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.
“Mengenai Sarawak pula, walaupun tidak tergolong dalam permohonan peruntukan perlembagaan yang sama, semangat yang sama tetap perlu diperhitungkan.
“Oleh itu, saya akan terus berbincang dengan Premier Sarawak dalam beberapa hari ini. Mudah-mudahan menjelang 16 September (Hari Malaysia) di Kuching, saya boleh mengumumkan langkah interim untuk Sarawak.
“Pihak Sarawak juga ada mengemukakan pandangan mengenai formula yang patut diperkenalkan supaya lebih jelas. Formula tersebut perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan, serta had minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
“Saya bersetuju dan telah meminta Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk berbincang bagi memperkenalkan formula berkenaan,” katanya – UTUSAN










