SEOUL: Seorang lelaki berusia 30-an didakwa mengaut kira-kira 2.4 bilion won (RM7.2 juta) menerusi kegiatan menjual semula hampir 9,000 tiket konsert K-pop, perlawanan sukan dan acara popular pada harga lebih tinggi sejak 2018.
Polis Korea Selatan berkata suspek menggunakan program makro automatik serta akaun milik saudara-maranya bagi mendapatkan tiket berkenaan sebelum menjualnya semula pada harga jauh lebih tinggi.
Kegiatan itu dipercayai berlangsung lebih tujuh tahun, dari September 2018 hingga awal April 2026.
Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Bukbu berkata, lelaki terbabit dirujuk kepada pendakwa raya atas pertuduhan termasuk menghalang operasi perniagaan dan melanggar Akta Persembahan Awam.
Antara tiket yang dijual semula ialah tiket konsert BTS pada 2019 di Kompleks Sukan Jamsil, Seoul.
Tiket yang dibeli pada harga 110,000 won itu didakwa dijual semula pada harga tiga juta won, iaitu lebih 27 kali ganda daripada harga asal.
Suspek turut didakwa menjual tiket konsert Stray Kids pada 2025 pada harga dua juta won selepas membelinya dengan harga 165,000 won.
Sementara itu, tiket pertemuan peminat Seventeen yang dibeli pada harga 110,000 won pada 2025 didakwa dijual semula pada harga 1.8 juta won.
Polis turut mengenal pasti tiket perlawanan bola sepak antara Team K League dan Tottenham Hotspur pada 2024 yang dibeli pada harga 400,000 won sebelum dijual semula pada harga 1.65 juta won.
Tiket konsert Bruno Mars di Korea pada 2023 pula dibeli pada harga 250,000 won sebelum didakwa dijual semula pada harga 1.2 juta won.
Polis menganggarkan kira-kira dua pertiga daripada hasil jualan semula sebanyak 2.4 bilion won itu, iaitu sekitar 1.6 bilion won (RM4.8 juta), merupakan keuntungan.
Pihak berkuasa berkata lelaki berkenaan menjadikan kegiatan menjual semula tiket sebagai sumber pendapatan utama selepas tamat pengajian di universiti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap lain.
Bagi memastikan kegiatan itu kelihatan sah serta mengelak perhatian terhadap aliran wang dalam jumlah besar menerusi akaun banknya, lelaki itu didakwa mendaftarkan perniagaan dalam sektor e-dagang, menurut polis.
Dia turut aktif dalam kumpulan sembang media sosial yang digunakan untuk urusan jual beli tiket secara haram. Ahli kumpulan berkenaan berkongsi maklumat mengenai program makro, ketersediaan tiket serta aktiviti penguatkuasaan polis.
Kumpulan sembang itu dilaporkan mempunyai lebih 1,300 ahli.
Polis berkata lelaki itu turut menggunakan hasil kegiatan berkenaan untuk membeli sebuah apartmen dan dua hartanah komersial di wilayah Gyeonggi.- AGENSI











