SEOUL: Penduduk Korea Selatan berusia 100 tahun ke atas melebihi 8,600 orang tahun lalu, meningkat 2.7 kali ganda dalam tempoh sedekad.
Wanita membentuk lebih 80 peratus daripada jumlah warga emas berusia 100 tahun ke atas itu, manakala wilayah Jeolla Selatan dan Pulau Jeju mencatatkan jumlah tertinggi berbanding jumlah penduduk masing-masing.
Mereka yang berusia 100 tahun ke atas itu menyifatkan amalan pemakanan secara terkawal sebagai rahsia utama untuk hidup panjang umur.
Tujuh daripada setiap 10 individu dalam golongan itu yang tinggal di rumah pula berkata mereka tidak bercadang berpindah ke pusat penjagaan jangka panjang walaupun kesihatan mereka merosot atau memerlukan penjagaan.
Menurut Kementerian Data dan Statistik, jumlah penduduk berusia 100 tahun ke atas mencapai 8,604 orang setakat November 2025, meningkat sebanyak 5,445 orang atau 172.4 peratus berbanding 3,159 orang pada 2015.
Berdasarkan jumlah penduduk keseluruhan, bilangan individu berusia 100 tahun ke atas bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 2.7 kali ganda daripada 6.4 orang pada 2015 kepada 17.3 orang tahun lalu.
Golongan wanita merangkumi 7,176 orang atau 83.4 peratus daripada jumlah itu, manakala lelaki seramai 1,428 orang atau 16.6 peratus.- AGENSI







