PANAMA CITY: Terusan Panama sekali lagi merancang untuk mengehadkan trafik kapal berikutan keadaan kemarau yang semakin buruk akibat fenomena El Nino.
Langkah berkenaan dijangka meningkatkan kesesakan di satu daripada laluan perdagangan maritim paling penting di dunia.
Terusan Panama mengendalikan kira-kira lima peratus perdagangan maritim global dan 40 peratus trafik kontena Amerika Syarikat (AS).
Laluan itu menjadi pilihan syarikat perkapalan kerana dapat mengurangkan kos serta masa perjalanan, terutama bagi perdagangan antara China, Asia dan AS.
Menurut pelan draf yang dikemukakan kepada Parlimen Panama, purata hanya 29.5 kapal sehari akan dibenarkan melalui terusan berkenaan mulai Oktober. Jumlah itu 18 peratus lebih rendah berbanding 36 kapal sehari pada Ogos.
Pada September, pihak berkuasa sudah mengurangkan jumlah kapal yang dibenarkan melalui terusan itu daripada 36 kepada 32 kapal sehari susulan keadaan kemarau.
Gangguan terhadap Selat Hormuz akibat perang AS dan Israel dengan Iran turut memburukkan keadaan logistik serta meningkatkan kos syarikat perkapalan yang menggunakan Terusan Panama.
Pada Ogos lalu, kapal yang menunggu untuk memasuki terusan itu terpaksa beratur sehingga 10 hari, tempoh paling lama sejak Mei.
Sebuah kapal kontena dilaporkan membayar kira-kira AS$4 juta (RM16.8 juta) untuk memintas giliran berkenaan.
Biasanya, syarikat perkapalan membayar kadar tetap bagi menempah slot untuk melalui terusan itu. Namun, sistem lelongan harian membolehkan pemilik kapal membuat tawaran bagi mendapatkan laluan lebih awal. Harga bidaan lazimnya meningkat apabila permintaan tinggi.
Sekatan terhadap jumlah kapal yang melalui terusan itu dijangka boleh menjadi lebih ketat susulan fenomena El Niño yang diramalkan memuncak pada penghujung tahun ini.
Fenomena cuaca semula jadi itu menyebabkan perubahan pada corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia dan dijangka menjadi yang paling kuat dalam tempoh empat dekad.
Terusan sepanjang 82 kilometer itu menghubungkan Laut Caribbean dengan Lautan Pasifik dan bergantung kepada bekalan air tawar dari sungai yang mengalir ke Tasik Gatun bagi mengendalikan sistem pintunya.
Pada September, pihak berkuasa berkata kawasan tadahan air terusan itu menerima jumlah hujan yang lebih rendah daripada jangkaan.
Pintu air terusan itu berfungsi seperti lif, dengan setiap pintu diisi air untuk mengangkat kapal setinggi 26 meter dari paras laut ke Tasik Gatun sebelum menurunkannya kembali ke paras laut di sebelah lagi.- AGENSI










