TEHERAN: Pihak berkuasa Iran mengumumkan penutupan sebuah pusat bahasa Perancis yang mempunyai kaitan dengan kedutaan negara itu di Teheran semalam, selepas menuduhnya menjalankan ‘aktiviti haram’.
Laman berita kehakiman Mizan melaporkan, Pusat Bahasa Perancis (CLF) yang beroperasi selama bertahun-tahun atas alasan menyediakan pengajaran bahasa ditutup atas arahan pejabat pendakwa raya Teheran.
Pihak kehakiman mendakwa pusat berkenaan melakukan ‘tindakan haram yang melanggar konvensyen diplomatik’.
Menurutnya, pusat itu turut menyalahgunakan statusnya sebagai institusi latihan bahasa untuk ‘mengenal pasti dan membina rangkaian dalam kalangan golongan elit negara, selain memudahkan mereka meninggalkan Iran’.
Tindakan itu mencetuskan reaksi tegas daripada Paris. Kementerian Luar Perancis berkata, tindakan terbaru terhadap kehadiran budaya Perancis di Iran itu ‘tidak boleh dibenarkan dan tidak boleh diterima’.
“Perancis akan mengambil langkah sewajarnya sebagai tindak balas,” menurut kementerian itu.
Kementerian itu turut memaklumkan Duta Iran akan dipanggil atas arahan Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot.
Hubungan antara Teheran dan Paris semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Bulan lalu, Perancis mengusir dua diplomat Iran sebagai tindak balas terhadap penahanan singkat dan larangan terhadap dua utusan Perancis ke republik Islam itu.
Teheran sebelum ini menuduh kedua-dua diplomat Perancis berkenaan melakukan campur tangan dalam urusan dalaman Iran.- AFP











