WASHINGTON: Pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pihaknya menyahaktifkan penjejak pengiklanan pada pelbagai telefon dan komputer, susulan laporan data lokasi yang dijual secara komersial digunakan untuk menjejaki anggota tentera AS di Asia Barat.
Perkara itu didedahkan menerusi surat kepada Senator AS, Ron Wyden, yang dikeluarkan pada Jumaat, selain kenyataan beberapa cabang tentera AS kepada Reuters.
Tentera Udara AS memaklumkan kepada Wyden pengecam pengiklanan pada komputer dan telefon mudah alih dinyahaktifkan dua bulan lalu.
Komando Operasi Khas AS pula berkata pihaknya baru-baru ini menyahaktifkan pengecam berkenaan pada peranti Windows miliknya.
Sementara itu, Tentera Darat AS memberitahu Reuters, ID pengiklanan pada peranti mudah alih dinyahaktifkan sejak awal 2026.
Wyden, senator Demokrat dari Oregon, mendesak Pentagon menangani isu itu sejak beberapa bulan lalu.
Pendedahan berkenaan mencetuskan kebimbangan keselamatan negara berhubung penggunaan data lokasi yang dikumpulkan industri pengiklanan dan dijual oleh broker data.
Broker data ialah syarikat yang mengumpul serta menjual semula data peribadi, termasuk maklumat lokasi, yang berpotensi digunakan untuk menjejaki dan menyasarkan anggota tentera yang ditempatkan di zon konflik.
Surat sama daripada Tentera Darat dan Tentera Laut AS kepada Wyden turut mengesahkan pengecam pengiklanan pada peranti ketenteraan dinyahaktifkan, namun tidak menyatakan bila sekatan itu mula dilaksanakan.
Tentera Darat AS dalam kenyataan berkata pengecam pengiklanan disekat pada komputer Windows sejak sebelum 2021, manakala fungsi berkenaan pada peranti mudah alih Android dan Apple hanya ditetapkan untuk dinyahaktifkan secara lalai sekurang-kurangnya sejak Februari 2026.
Tentera Laut AS tidak memberikan respons terhadap permintaan komen.
Usaha mengurangkan data lokasi yang dijana telefon pintar itu dibuat ketika pegawai tentera sedang mempertimbangkan sekatan lebih ketat terhadap penggunaan telefon secara keseluruhan.
Julai lalu, Reuters melaporkan sebahagian anggota tentera AS yang ditempatkan di Asia Barat mungkin diarahkan menyerahkan telefon masing-masing susulan kebimbangan video yang dirakam menggunakan telefon dan dimuat naik ke internet membantu Iran menyasarkan pangkalan tentera AS di rantau berkenaan.
Wyden dan anggota Dewan Perwakilan AS, Pat Harrigan, seorang Republikan dari Carolina Utara, pada 4 September menghantar surat kepada Pentagon bagi meminta siasatan dijalankan sama ada pihak tentera mengambil langkah sewajarnya untuk menangani risiko berkaitan perdagangan data lokasi.
Surat itu turut memuatkan perkembangan daripada beberapa cabang tentera AS berhubung usaha menyahaktifkan pengecam pengiklanan pada peranti ketenteraan.- AGENSI










