AS hadkan waktu pelayaran kapal di Selat Hormuz

AS hadkan waktu pelayaran kapal di Selat Hormuz

GAMBAR fail beberapa kapal melalui Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengehadkan waktu pelayaran kapal tangki melalui Selat Hormuz kepada dua tempoh tertentu setiap hari bagi memastikan kapal berkenaan mendapat perlindungan ketenteraan, selepas Iran meningkatkan serangan terhadap kapal yang bergerak pada waktu malam.

Menurut laporan Financial Times (FT) pada Sabtu, Washington sejak Mei menyediakan perlindungan udara kepada kapal yang melalui laluan berhampiran pantai Oman di bahagian selatan Selat Hormuz.

Bagaimanapun, tempoh kapal mendapat perlindungan itu dipendekkan kepada dua slot waktu tertentu setiap hari sekitar awal September, menurut FT yang memetik e-mel pusat penyelarasan tentera laut AS kepada penasihat maritim.

Sementara itu, tentera AS memaksa 99 kapal komersial mengubah haluan di rantau Teluk ketika melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam hantaran di media sosial pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata menteri luar negara pesisir Teluk dijadual mengadakan pertemuan di Oman pada Isnin bagi bertukar pandangan mengenai isu serantau.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah rundingan Iran dan Oman berhubung penetapan laluan selamat di Selat Hormuz.

Beliau berkata pertemuan itu akan disertai Iran, Iraq dan negara pesisir Teluk lain.

Baghaei berharap pertemuan itu dapat membuka ruang untuk meningkatkan persefahaman antara negara serantau serta menyumbang kepada keselamatan bersama di rantau berkenaan.

Sehari sebelumnya, Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC) yang diketuai AS dalam satu notis memaklumkan keadaan keselamatan maritim di Asia Barat kekal tegang, dengan tahap ancaman keselamatan maritim di Selat Hormuz masih dikategorikan sebagai ‘teruk’.

Notis itu turut memberi amaran kemungkinan tinggi serangan terhadap kapal berikutan situasi keselamatan semasa.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×