KATHMANDU: Banjir kilat maut berhampiran sempadan Nepal-Tibet semalam dipercayai berpunca daripada bahagian bawah glasier yang pecah dan terhempas ke dasar lembah ratusan meter di bawah, menurut pakar berdasarkan imej satelit Planet Labs.
Punca glasier itu runtuh masih belum diketahui, namun pegawai Nepal berkata gempa bumi yang berlaku di kawasan berkenaan beberapa minit sebelum kejadian mungkin menjadi pencetus.
Pihak berkuasa di kedua-dua belah sempadan bimbang jumlah korban sebenar jauh lebih tinggi berbanding hampir 100 mayat yang setakat ini ditemukan.
Kerajaan Nepal berkata lebih 300 pelancong masih hilang.
Imej satelit sebelum dan selepas kejadian yang dirakam Planet Labs dan diteliti Reuters menunjukkan lereng gunung yang sebelum ini menghijau kini ditenggelami timbunan serpihan dan mendapan berwarna coklat.
“Sebahagian besar bahagian hadapan glasier itu disahkan runtuh sehingga mencetuskan kejadian berkenaan, kemungkinan membawa bersama sejumlah besar batuan dan mendapan,” kata Vikram Gupta, pakar geologi kejuruteraan yang mengajar di Universiti Sikkim, India.
Saintis Bumi di Universiti Calgary, Dan Shugar, berkata imej satelit itu seolah-olah menunjukkan sejumlah besar salji mencair dalam tempoh 24 jam sebelum bencana berlaku.
“Sebahagian glasier di lembah itu dilitupi salji semalam, namun hari ini kebanyakannya hanya tinggal ais. Dengan kata lain, berdasarkan keadaan itu dan saya masih belum melihat data stesen cuaca, kemungkinan cuaca ketika itu panas,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023 berkata gunung-ganang Nepal yang dilitupi salji kehilangan hampir satu pertiga daripada jumlah aisnya dalam tempoh lebih 30 tahun akibat pemanasan global.
Agensi itu turut memaklumkan pada tahun sama bahawa glasier di Nepal, yang terletak di antara dua negara pengeluar karbon utama iaitu India dan China, mencair 65 peratus lebih pantas dalam tempoh sedekad lalu berbanding dekad sebelumnya.
“Apa yang dapat saya lihat dalam imej satelit Planet Labs pagi ini, bahagian bawah sebuah glasier runtuh pada ketinggian kira-kira 5,200 meter sebelum menghempas ke dasar lembah kira-kira 1,200 meter di bawah,” kata Shugar.
Beliau berkata aktiviti pembinaan juga mungkin menjadi antara faktor, manakala sama ada perubahan iklim memainkan peranan masih perlu dikaji dan sudah pasti akan menjadi antara perkara yang akan diteliti dalam masa terdekat.
Beberapa projek tenaga hidroelektrik terletak di kawasan paling terjejas di daerah pergunungan Rasuwa, yang mempunyai populasi kira-kira 50,000 penduduk.
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal berkata, banjir akibat glasier berlaku di Sungai Lhende susulan kejadian tanah runtuh kira-kira 20 kilometer (12 batu) di timur laut pintu sempadan Nepal-China.
Laporan awal turut mencadangkan gempa bumi yang berlaku di kawasan berkenaan mungkin mencetuskan runtuhan salji dan menyebabkan banjir, namun ahli geologi pihak berkuasa itu, Prakash Pokharel, berkata masih belum jelas sama ada gempa berkenaan menjadi punca tragedi tersebut.
“Banjir kilat itu berpunca daripada runtuhan ais dan batu di sebelah Nepal,” kata Pokharel yang telah meneliti imej Planet Labs.- AGENSI









