Presiden Myanmar giat pulihkan hubungan diplomatik serantau

Presiden Myanmar giat pulihkan hubungan diplomatik serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, tiba di Bangkok hari ini untuk lawatan pertamanya ke Thailand sejak mengambil alih jawatan itu, dalam usaha mengembalikan Myanmar ke dalam hubungan diplomatik serantau.

Aung Hlaing sebelum ini mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan pemimpin demokratik, Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang dianggar mengorbankan lebih 100,000 nyawa.

Beliau dilantik sebagai Presiden Myanmar pada April selepas pilihan raya yang dikendalikan junta, yang disifatkan pemantau demokrasi dan negara Barat sebagai pilihan raya palsu bagi membersihkan imej junta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Thailand sejak itu menerajui usaha menormalkan hubungan dengan Myanmar, termasuk menerusi hubungan dua hala dan ASEAN yang mempunyai 11 negara anggota.

Sejak rampasan kuasa itu, ASEAN tidak memasukkan kepimpinan Myanmar dalam sidang kemuncak peringkat tinggi, namun Menteri Luar negara berkenaan menghadiri pertemuan tidak rasmi bersama rakan sejawat serantau di Bangkok bulan lalu.

Aung Hlaing giat menjalankan usaha diplomatik sejak menukar pakaian seragam tentera kepada pakaian awam, termasuk mengunjungi India, sekutu utama China dan negara anggota ASEAN, Laos.

Menjelang lawatannya ke Bangkok, Suu Kyi yang masih dikenakan tahanan rumah dibenarkan bertemu wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Isnin, iaitu kali pertama beliau dilihat bertemu pegawai asing sejak digulingkan.

Pakar Myanmar, Morgan Michaels, berkata sekiranya Myanmar diterima semula ke dalam ASEAN, ia akan membuka ‘laluan untuk menormalkan hubungan dengan negara lain, termasuk negara Barat yang masih menentang rejim tentera’.

Bagaimanapun, menurutnya, Myanmar sudah mendapat pengiktirafan daripada India, China, Russia dan Thailand, menjadikan pemulihan hubungan dengan ASEAN lebih kepada sesuatu yang baik untuk dimiliki dan bukannya keperluan utama.

Pemimpin Myanmar enggan menerima apa yang dikenali sebagai ‘konsensus lima perkara’ ASEAN untuk menamatkan konflik melalui dialog dengan semua pihak.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini