PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan penganjur serta pemilik tapak bagi memastikan kapasiti rangkaian telekomunikasi mencukupi menjelang penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Sepang, Oktober ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan capaian rangkaian serta mengurangkan kesesakan susulan kehadiran orang ramai pada acara berskala besar berkenaan.
“Sebagai antara langkah yang biasa diambil untuk persiapan acara-acara berskala besar, pihak MCMC akan bekerjasama dengan penganjur dan pemilik tapak untuk pastikan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh memasang kelengkapan peralatan untuk meningkatkan capaian dan juga untuk mengurangkan kesesakan bagi pengguna yang ramai.
“Dan perbincangan itu berjalan,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, pihaknya belum menerima maklumat sama ada perancangan berkaitan pengukuhan rangkaian di tapak penganjuran F1 berkenaan telah dimuktamadkan.
Fahmi berkata, persiapan masih mempunyai tempoh kira-kira enam minggu sebelum acara itu berlangsung.
Katanya, beliau berkemungkinan melakukan lawatan ke tapak bersama MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi melihat sendiri persiapan serta perancangan berkaitan rangkaian komunikasi.
Jelasnya lagi, langkah meningkatkan kapasiti rangkaian dan mengurangkan kesesakan merupakan antara persiapan biasa kerajaan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan telekomunikasi ketika penganjuran acara berskala besar.
Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini, selepas perlumbaan yang asalnya dijadualkan di Bahrain dipindahkan ke Malaysia susulan pembatalannya pada April lalu.
Perlumbaan itu akan menggunakan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia dan menandakan kembalinya F1 ke SIC selepas kali terakhir diadakan pada 2017. – UTUSAN











